[VIDEO] Pelajar didakwa cabul, cederakan kenalan wanita baru kenal sehari
MELAKA - Seorang pelajar lelaki di sebuah institut kemahiran didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, pada Jumaat, atas pertuduhan mencabul kehormatan dan mencederakan rakan perempuan yang baharu berkenalan sehari.
Tertuduh, Muhammad Akmal Nordin, 24, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah setelah kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan hadapan Majistret, Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang perempuan berusia 21 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika berada di dalam kereta di kawasan Jalan Ayer Keroh Lama, di sini, antara jam 10 malam hingga 12.30 tengah malam pada 15 April lalu.
Pendakwaan bagi kesalahan itu, dijalankan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada tarikh, masa dan di tempat sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM1,000 atau keduanya sekali, sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Roslan menawarkan jaminan RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pendapatan kerana masih lagi belajar.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,500 dan membenarkan syarat seperti dipohon pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 16 Julai depan bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!