Jemaah haji meninggal dunia ketika tawaf
MAKKAH - Seorang lelaki berusia 58 tahun, dari Alor Setar, Kedah menjadi jemaah haji kedua Malaysia yang meninggal dunia di Makkah akibat serangan sakit jantung pada malam Rabu lepas.
Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, ketika kejadian, Allahyarham Mohd Zahir Ismail dari Maktab 78 dilaporkan sedang menunaikan tawaf umrah pertama bersama isteri dan jemaah yang lain sebelum tiba-tiba rebah di kawasan mataf.
“Dengan rasa dukacita, kami ingin memaklumkan terdapat kematian kedua, di mana kita telah kehilangan seorang jemaah haji lelaki.
“Beliau daripada KT66 yang baru sampai di Makkah pada 29 Mei dan pada waktu malam selepas Isyak kita anjurkan mereka semua laksanakan umrah pertama dan beliau telah pun jatuh akibat serangan jantung di tempat tawaf,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di sini hari ini.
Beliau berkata, Allahyarham kemudian dikejarkan ke klinik yang terletak dalam Masjidil Haram sebelum dikejarkan ke Hospital Arab Saudi, namun disahkan telah meninggal dunia.
Jenazah kemudian disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidil Haram, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah.
Beliau berkata, petugas kebajikan TH, kaunselor serta pembimbing ibadat dan pakar rujuk juga telah menziarahi pihak waris iaitu isteri Allahyarham.
“TH mengucapkan takziah kepada waris jemaah dan kami mendoakan agar segala amal ibadahnya diterima ALLAH SWT,” katanya.
Ini merupakan kematian kedua melibatkan jemaah haji Malaysia selepas kematian pertama berlaku pada 24 Mei lalu, melibatkan seorang lelaki berusia 72 tahun yang meninggal dunia akibat pembuluh darah pecah.
Allahyarham Abnil Hajar Ismail dari Jitra, Kedah disahkan meninggal dunia di Hospital King Abdullah, Arab Saudi pada jam 10.30 malam.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!