Bas ekspres langgar belakang lori miliki 38 rekod saman
IPOH - Bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 290.9 Lebuhraya Utara Selatan pada Jumaat hingga mengakibatkan empat penumpang cedera dikesan memiliki 38 rekod saman terkumpul.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, semakan juga mendapati, pemandu bas berusia 38 tahun mempunyai 15 saman trafik termasuk dua kesalahan kemalangan.
Menurutnya, kejadian sekitar jam 5.30 pagi itu berlaku semasa bas membawa 25 penumpang terbabit dalam perjalanan dari Sungai Nibong, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
"Tiba di lokasi kejadian, bas berkenaan hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang lori tangki muatan simen yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.
"Akibat perlanggaran, pemandu bas dan sembilan penumpang berusia antara 13 hingga 60 tahun dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, nahas telah mengakibatkan aliran trafik sesak, namun tindakan pantas pihak polis berjaya mengawal kesesakan di laluan tersebut.
Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.
"Saksi yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Edwin Tang Chiew Song di talian 016-5506863 bagi membantu siasatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!