Ingatkan ikan besar, rupanya anak buaya sesat masuk pukat
BAGAN SERAI - Disangka ikan besar tersangkut, rupa-rupanya anak buaya terperangkap dalam pukat yang dipasang nelayan di Sungai Kurau berhampiran Jambatan Kampung Padang Lalang, Semanggol di sini pada Jumaat.
Nelayan, Shaharudin Itam berkata, kejadian disedari pada waktu pagi oleh bapanya ketika menarik pukat yang dipasang pada petang Khamis.
Menurutnya, selepas pukat tersebut dinaikkan, kelihatan seekor anak buaya berada di dalamnya tidak bergerak dipercayai sudah mati.
"Sepanjang keluarga kami jadi nelayan, ini kali pertama anak buaya terperangkap dalam pukat. Mungkin haiwan ini tak dapat nak melepaskan diri dan mati. Kalau buaya besar memang pukat dah kena bawa lari.
"Memang biasa kami nampak kelibat buaya di dalam sungai ini timbul tepi sampan. Tapi setakat ini tak ada lagi ancaman kepada nelayan di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurut Shaharudin, bangkai buaya tersebut mungkin akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff yang dihubungi mengesahkan mengenai penemuan buaya tersebut.
Beliau berkata, tiga orang pegawai Perhilitan ke lokasi berkenaan selepas menerima laporan daripada orang awam.
"Sebenarnya itu anak buaya. Usia anak buaya tersebut dianggarkan lebih kurang dua tahun dengan berat anggaran 10 kilogram," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!