Pelaksanaan DGP, PGM percepat pertumbuhan kadar upah - Kesuma
PUTRAJAYA - Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) dan Perintah Gaji Minimum (PGM) bakal membantu meningkatkan pendapatan pekerja selain memacu Malaysia dalam mempercepat pertumbuhan kadar upah.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pelaksanaan kedua-dua dasar itu juga akan menangani isu berkaitan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang rendah.
"Ia selaras dengan Kajian Separa Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) ke arah meningkatkan gaji dan mencapai pengagihan pendapatan lebih seimbang. Ia juga Berteraskan produktiviti dan bertujuan memastikan kesaksamaan kepada kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja melalui konsep timbal balik,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju melaksanakan projek rintis DGP yang akan dilaksanakan mulai Jun hingga Ogos melibatkan sebanyak 1,000 majikan berdasarkan prinsip ‘first come first serve’.
Sejak 2012, sebanyak lima PGM diperkenalkan dan yang terkini ialah PGM 2022 yang seragam di seluruh negara dengan kadar gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan.
Kesuma memaklumkan DGP dilaksanakan sebagai sebahagian komitmen kerajaan bagi mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja selari peningkatan produktiviti.
"Pengenalan dasar baharu ini akan menjadi pelengkap kepada inisiatif gaji sedia ada iaitu Perintah Gaji Minimum dan Sistem Upah yang Dikaitkan dengan Produktiviti (PLWS),” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Kesuma memaklumkan pihaknya sentiasa peka dan komited dalam membantu pekerja bagi menjamin pendapatan mereka melalui pelaksanaan PGM
"Ini kerana pelaksanaan PGM membantu meningkatkan nilai gaji dan pendapatan pekerja yang berkemahiran rendah,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan statistik, Kesuma memaklumkan lebih kurang 875,000 pekerja sektor swasta di seluruh Malaysia yang bergaji bawah RM1,500 menikmati gaji minimum berkenaan.
"Menyebar luas maklumat dan perkongsian analisis mengenai gaji adalah amat penting. Ini bagi meningkatkan kesedaran serta membantu pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, pihak majikan dan kesatuan sekerja dalam membuat perancangan lebih holistik demi pembangunan ekonomi dan pertumbuhan hasil negara,” menurut KESUMA.
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) turut menjalankan penguatkuasaan terhadap pelaksanaan PGM melalui aktiviti pemeriksaan ke atas majikan bagi memastikan pihak majikan mematuhi sepenuhnya PGM. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!