RCVEP dapat tingkatkan hasil, kawal pergerakan kenderaan asing

MOT sebelum ini mengumumkan akan menguatkuasakan sistem Kutipan Caj Jalan dan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (RCVEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Oktober ini.
MOT sebelum ini mengumumkan akan menguatkuasakan sistem Kutipan Caj Jalan dan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (RCVEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Oktober ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pelaksanaan sistem Kutipan Caj Jalan dan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (RCVEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bukan sahaja meningkatkan hasil kerajaan, malah dapat mengawal selia pergerakan kenderaan asing dalam negara.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, selain meningkatkan keselamatan dan memartabatkan kedaulatan undang-undang negara dengan mengawal kemasukan kenderaan asing, RCVEP memainkan peranan penting untuk menyimpan data kenderaan ke luar negara melalui laluan berdaftar.

Menurutnya, pada masa sama, kerajaan perlu melakukan kajian semula berkaitan peraturan kemasukan kenderaan di sempadan Malaysia-Thailand.

“Kita lihat ada beberapa kelemahan dalam sistem dan kerajaan perlu menyemak semula peraturan lama untuk disesuaikan dengan keadaan masa kini, terutama dengan kepesatan ekonomi dan pembangunan antara dua negara.

“Dulu dalam jarak dua kilometer mungkin tidak ada pembangunan, tetapi kini sudah pesat selain kita perlu tangani isu keselamatan serta keperluan untuk seragamkan sistem sempadan negara supaya tiada elemen memihak,” katanya di sini pada Jumaat.

Menurutnya, langkah mengenakan caj RCVEP kepada kenderaan dari Thailand seperti kenderaan dari Singapura dilihat sebagai usaha menyeragamkan sistem lintas sempadan negara.

“Kami yakin sekiranya kutipan RCVEP dilaksanakan di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, ia tidak akan jejaskan kemasukan kenderaan dari negara jiran itu. Malah hasil levi tersebut boleh dikembalikan kepada negeri sempadan terlibat untuk melaksanakan projek pembangunan,” ujarnya.

Pada Selasa, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menguatkuasakan sistem RCVEP di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Oktober ini sebelum diperluaskan di sempadan darat Malaysia-Thailand.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zayad percaya langkah tersebut akan mempermudahkan kemasukan kenderaan asing ke Malaysia dilakukan dengan lebih sempurna.

“Sudah tentu kita mahu kawal sempadan negara daripada dicerobohi pihak-pihak tidak bertanggungjawab seperti penyeludupan manusia dan barangan seperti dadah, senjata dan diesel.

“Pelaksanaan RCVEP juga dilihat dapat membantu mengesan kenderaan klon, di mana siasatan boleh dijalankan oleh pihak berkuasa apabila mendapati kenderaan berada dalam negara untuk tempoh lama, yang kemungkinan dijadikan kenderaan klon,” jelasnya lagi.

Menurutnya, diharapkan kadar caj penguatkuasaan RCVEP terhadap kenderaan asing dari Singapura dan Thailand diselaraskan untuk mewujudkan keseragaman.

“Namun begitu terdapat beberapa isu perlu ditangani oleh pihak berkepentingan sebelum pelaksanaannya.

“Biarpun akan dilaksanakan pada Oktober depan bagi sempadan Malaysia-Singapura, rekod mendedahkan terdapat 70,000 kenderaan motor pendaftaran Singapura berdaftar mengaktifkan tag VEP berbanding lebih 200,000 kenderaan berdaftar namun belum melengkapkan proses memasang dan mengaktifkan tag VEP masing-masing.

“Isu teknikal seperti pemasangan tag VEP-Radio Frequency Identification (RFID) yang memperlihatkan pelaksanaannya tidak berjalan lancar juga perlu diberikan perhatian. Ramai pengguna tidak puas hati dengan kualiti bacaan kod bar di kamera pemantau tidak tepat,” katanya.

Menurutnya lagi, ini antara isu kenapa VEP yang pertama kali diumumkan pada 2017 dan sepatutnya dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2019, namun pelaksanaannya ditangguhkan disebabkan isu berkaitan pemasangan tag RFID.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!