Guna jurupandu elak sesat di Gunung Keriang

Khidmat jurupandu perlu digunakan untuk meneroka Gunung Keriang.
Khidmat jurupandu perlu digunakan untuk meneroka Gunung Keriang.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Mana-mana pendaki ingin melakukan aktiviti pendakian di Gunung Keriang, di sini, disarankan menggunakan khidmat jurupandu bagi mengelak risiko tersesat ketika melakukan aktiviti terbabit.

Jurupandu Escapezone Kedah merangkap pengurus program, Abdul Rahman Hussin, 41, berkata, pendaki tidak boleh masuk sendiri ke dalam gunung bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Beliau berkata, individu ataupun kumpulan berminat perlu menggunakan khidmat jurupandu walaupun penggunaan jurupandu tidak diwajibkan ketika mendaki gunung itu buat ini.

Abdul Rahman (tengah) memberi taklimat kepada peserta yang ingin melakukan aktiviti di Gunung Keriang, di sini, pada Jumaat.
Abdul Rahman (tengah) memberi taklimat kepada peserta yang ingin melakukan aktiviti di Gunung Keriang, di sini, pada Jumaat.

"Sehingga kini, lima kes tersasar dari laluan mendaki telah direkodkan di Gunung Keriang pada tahun lepas dan dua kes tersasar dari laluan utama ketika memasuki gua direkodkan pada tahun ini termasuklah kes terbaharu melibatkan tiga remaja tersesat ketika mendaki Gunung Keriang pada awal bulan Mei lepas.

"Apabila diselidik, kebanyakan mereka yang tersesat dalam Gunung Keriang didapati masuk sendiri tanpa khidmat jurupandu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya lagi, jurupandu biasanya menggunakan dua laluan sahaja untuk melakukan aktiviti di Gunung Keriang meskipun terdapat pelbagai laluan lain dalam gunung terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Pendaki yang masuk sendiri mungkin tidak tahu perkara ini, sekali gus masuk ke laluan jarang diteroka dan digunakan sebelum tersesat di kawasan itu," katanya.

Sehubungan itu, menurut beliau, pihaknya berharap mana-mana pendaki ingin mendaki mendapatkan khidmat jurupandu terlebih dahulu sama ada melalui Escapezone Kedah ataupun jurupandu tempatan.

Jelas beliau, jurupandu Escapezone Kedah di Gunung Keriang merupakan anak tempatan dan memiliki banyak pengalaman mengeksplorasi gua dalam Gunung Keriang.

"Selain itu, kami akan membekalkan pendaki dengan khidmat jurupandu dan peralatan khas seperti topi keselamatan, lampu kepala dan sarung tangan," katanya.

Beliau menambah, setiap peserta juga akan diberikan taklimat keselamatan terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti di kawasan gunung tersebut.

Abdul Rahman memberitahu, seorang jurupandu akan membawa seramai lima peserta masuk ke dalam kawasan terbabit, manakala dua jurupandu pula untuk 10 orang kumpulan pendaki

Beliau memaklumkan, empat jurupandu akan disediakan untuk kumpulan pendaki lebih ramai untuk memastikan aktiviti berjalan lancar.

"Gunung Keriang adalah gunung yang mempunyai tarikan alam semujadi dan menarik untuk dijelajah, namun ada prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi termasuklah pemakaian topi keselamatan dan lain-lain," katanya.

Bagi Abdul Rahman, tindakan orang awam masuk sendiri bukan hanya memberi risiko tersesat kepada diri mereka sendiri, malah memberi kesan kepada mereka yang menjalankan trip eksplorasi di Gunung Keriang.

"Ada menarik tempahan dan ragu-ragu untuk meneruskan aktiviti eksplorasi di Gunung Keriang, sedangkan kes-kes berlaku disebabkan ada cuba masuk sendiri," katanya.

Beliau berharap, kes pendaki tersesat di Gunung Keriang dijadikan peringatan supaya tiada mana-mana individu masuk lagi tanpa khidmat jurupandu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan tiga remaja tersesat dipercayai tersesat dan gagal mencari jalan keluar ketika mendaki Gunung Keriang pada 8 Mei lepas.

Pada 24 April lalu, seorang pendaki berusia 20 tahun juga dipercayai tersesat di Gunung Keriang sebelum ditemui selamat oleh pasukan penyelamat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!