Kubur Mahmoodiah umpama terbiar

Semak samun yang tidak diselenggara dengan baik menutup pusara sedia ada di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru. Gambar kecil dari kiri: Masri Sapuan, Fakrul, Mohd Ghazali
Semak samun yang tidak diselenggara dengan baik menutup pusara sedia ada di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru. Gambar kecil dari kiri: Masri Sapuan, Fakrul, Mohd Ghazali
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah di Jalan Mahmoodiah di tengah bandar raya ini yang berusia lebih 100 tahun dan dahulunya menjadi tempat persinggahan pelancong kini seakan tidak terurus dan terbiar.

Tinjauan Sinar Harian di kawasan itu yang terbahagi kepada kubur awam serta makam empat Sultan Johor dan kerabat diraja mendapati kawasan kubur dipenuhi semak samun dan dahan pokok tumbang.

Seorang penduduk, Mohd Ghazali Mohd Sohod, 57, mendakwa, dua pokok besar tumbang minggu lalu yang menghempap kubur dan jalan.

"Ini menyebabkan kerosakan beberapa kubur dan laluan juga terhalang," ujar guru di sebuah sekolah tahfiz di Taman Mawar itu ketika ditemui pada Jumaat.

Dahan pokok jatuh dan menimpa beberapa pusara di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru pada Jumaat.
Dahan pokok jatuh dan menimpa beberapa pusara di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru pada Jumaat.

Sebelum ini tular dalam media sosial pokok-pokok besar di tanah perkuburan tersebut tumbang menghempap kubur sehingga rosak dan keadaan itu didakwa pihak waris yang dikesemadikan di situ dibiarkan selama beberapa hari.

Sementara itu, Fakrul Osman, 30, berkata, kerja-kerja penyelenggaraan di tanah perkuburan tersebut adalah di bawah tanggungjawab pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

"Saya difahamkan pihak terbabit tiada peruntukan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan sebab itu terdapat kawasan kubur yang bersih dan ada kawasan yang semak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Makam Diraja Mahmoodiah, Masri Sapuan, 58, berkata, punca kawasan kubur berkenaan tidak dapat diselenggara dengan baik kerana tidak cukup tenaga kerja.

Jelas Masri yang sudah 38 tahun berkhidmat, pihaknya yang menjaga kubur awam dan makam diraja itu hanya memiliki tiga pekerja tetap untuk menjaga tanah kubur berkenaan berkeluasan kira-kira lapan hektar.

Keadaan terkini sebahagian Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah.
Keadaan terkini sebahagian Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah.

"Tiga pekerja yang ada tidak cukup untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kerana tanah kubur ini luas. Sebelum ini ada 10 pekerja tetapi sejak tahun 2,000 ada yang sudah pencen tetapi tidak digantikan sehingga tinggal tiga pekerja sahaja.

"Begitu juga tidak ramai berminat untuk bekerja sini. Ada juga sebelum ini berhenti kerana tidak tahan dugaan dan cabaran bekerja antaranya terkena badi mayat, gangguan mistik dan diganggu perkara aneh sehingga ke rumah," ujar beliau.

Katanya, terdapat banyak pokok Tembusu berusia lebih 100 tahun yang ditanam rapat di kawasan kubur tersebut kini sudah mula tumbang dan sebahagianya merosakkan kubur.

"Kami terus laporkan kepada JAINJ setiap kali pokok-pokok tumbang kerana bawah bidang kuasa mereka. Kawasan kubur perlu bersih dan terjaga kerana sebelum ini terdapat ular tedung masuk selain menjadi tempat penagih dadah dan 'port' mereka yang tidak berpuasa," katanya.

Masri yang merupakan imam di Masjid Kampung Mahmoodiah berkata, kubur berkenaan yang dibuka pada tahun 1850 sudah ditutup untuk pengkebumian jenazah pada 1 September 2015 kerana sudah penuh.

Sepatutnya kata beliau, kubur bersejarah yang pertama dan paling lama di Bandar Raya Johor Bahru itu diberi cukup peruntukan supaya kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilakukan mengikut waktu.

"Kubur ini amat penting dan mempunyai sejarah tersendiri dibuka sebelum wujudnya Kampung Mahmoodiah pada tahun 1891 yang dahulunya dipanggil Kampung Kubur.

"Kubur ini di tengah kawasan bandar raya ini penting kerana antaranya menempatkan makam Sultan Abu Bakar, Sultan Ibrahim, Sultan Ismail dan Sultan Ismail serta bonda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar termasuk kerabat diraja Johor, pembesar istana dan mufti pertama Johor, Datuk Syed Salim Ahmad Al-Attas ada sini," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak-pihak berkenaan berhubung isu tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!