PKCH anjur Cameron Highlands #QuranHour

Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya (duduk, tengah) bersama tetamu dan peserta pada Cameron Highlands #QuranHour di Puncak Arabella, Tanah Rata, Cameron Highlands.
Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya (duduk, tengah) bersama tetamu dan peserta pada Cameron Highlands #QuranHour di Puncak Arabella, Tanah Rata, Cameron Highlands.
A
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) julung kali menganjurkan Cameron Highlands #QuranHour dengan membawa tema “Serve to be served”, berpandukan Surah Al-Insan di Puncak Arabella, Tanah Rata, di sini pada 29 Mei lalu.

Hampir 200 peserta terdiri dari 45 agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal selama dua jam.

Program tersebut dianjurkan bersama Pejabat Daerah Dan Tanah Cameron Highlands, Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands, serta rakan sinergi, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd.

Sesi dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah ayat 1 hingga 5 dan Surah Al-Insan yang dibimbing oleh Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Ustaz Safri Muhammad Zein.

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail sebagai pentadabbur berkata, Surah Al-Insan menceritakan pilihan manusia untuk menjadi orang bersyukur atau kufur pada nikmat ALLAH SWT. Terdapat 11 ciri untuk menjadi insan al-abrar yang berbuat kebaikan dan bagaimana untuk mencapainya.

“ALLAH SWT menciptakan manusia yang diuji pada setiap masa. Pada masa sama, manusia diberikan penglihatan dan pendengaran sebagai bekalan untuk menghadapi ujian tersebut. Bersyukur bermaksud kita hargai segala kurniaan ALLAH SWT.

Antara ciri al-abrar dalam Surah Al-Insan adalah menjaga amanah, bertakwam berinfak, ikhlas, berorientasikan akhirat, teguh berpegang kepada al-Quran, sabar, menjauhi diri daripada melakukan dosa, taat menunaikan solat fardu dan bersyukur.

Tambah beliau, Cameron Highlands mampu menjadi ladang amal dengan mengangkat nilai-nilai al-Quran dalam diri, keluarga, organisasi, negeri dan negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Daerah Cameron Highlands merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PKCH, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, matlamat beliau dalam menerajui daerah tersebut adalah melaksanakan segala perancangan, strategi dan dasar-dasar yang direncanakan di peringkat daerah, negeri dan Persekutuan.

Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya
Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya

“Saya memfokuskan pembangunan pertanian dan pelancongan tanah tinggi yang pintar dan lestari di Cameron Highlands. Namun perkara paling penting adalah kesejahteraan rakyat.

“Cameron Highlands #QuranHour yang berslogan “Memanusiakan Ummah” bertujuan mendekatkan hati masyarakat melalui penghayatan al-Quran dan melaksanakan dalam kehidupan seharian sama ada di rumah mahupun di luar rumah.”

Katanya lagi, panduan Surah Al-Insan perlu diaplikasikan dalam budaya kerja agar kita menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Sikap syukur, amanah dan jujur adalah penting dalam memberikan servis kepada pelanggan dan di setiap proses kerja di tempat kerja.

Seorang yang bergelar pemimpin di rumah dan luar rumah perlu mengambil peringatan dan pengajaran daripada al-quran untuk menjadi al-abrar dalam berbuat kebaikan dan menuju ke jalan yang diredai ALLAH SWT.

“Oleh itu, kita memulakan dengan memberi khidmat kepada orang lain dan ALLAH SWT memberi ganjaran kepada kita atas khidmat yang diberikan kepada orang lain, di syurga. Diharapkan gelombang al-Quran diteruskan dan disemarakkan di bumi Cameron highlands.”

Program tersebut diakhiri dengan acara Simbolik Penyerahan Al-Quran Waqaf untuk mengaktifkan Quran Corner oleh Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff kepada Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya yang mewakili pihak PKCH, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Majlis Daerah Cameron Highlands, dan Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands.

Quran Corner merupakan sudut bacaan di organisasi untuk memperkasakan dan mendekatkan warga kerja dengan al-Quran serta menjadikannya sebagai sumber rujukan. Sebanyak tujuh jenis al-Quran terbitan Karya Bestari adalah hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Gerakan al-Quran yang digerakkan oleh WUIF.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!