50 tahun hubungan diplomatik Malaysia, China harus dipertahankan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (kanana) bersalaman dengan Imam Masjid Dongsi (kiri) Qian Aidong ketika hadir untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Dongsi hari ini. Foto Bernama
Ahmad Zahid (kanana) bersalaman dengan Imam Masjid Dongsi (kiri) Qian Aidong ketika hadir untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Dongsi hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sempena meraikan ulang tahun ke-50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang jatuh pada hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semangat persahabatan antara kedua negara ini harus disuburkan dan dipertahankan.

Menerusi hantaran di akaun media sosial X, beliau berkata, semangat persahabatan antara Malaysia dan China yang telah terjalin selama setengah abad harus disuburkan dan dipertahankan ke generasi seterusnya.

Beliau berkata, kerjasama yang rapat di pelbagai bidang seperti perdagangan, pendidikan dan kebudayaan antara kedua negara ini membuka peluang baru untuk kemajuan bersama.

"Mari kita terus bersatu padu dalam memastikan kelestarian persahabatan Malaysia dan China, dalam perjalanan ke hadapan untuk mencapai kejayaan dan kemakmuran bersama,” katanya di platform X.

Dalam pada itu, sempena lawatan rasmi beliau yang pertama ke China sejak beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022 bermula 22 Mei hingga esok, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Naib Perdana Menteri China Ding Xuexiang, di Vila 5, Rumah Tamu Negara Diaoyutai, di Beijing hari ini.

Beliau berkata, kunjungan hormat terhadap Naib Perdana Menteri China itu merupakan satu lagi langkah penting dalam memperkukuhkan ikatan persahabatan dan kerjasama antara kedua negara.

"Dalam kunjungan ini, kami bertekad dan berazam untuk meneruskan warisan pemimpin terdahulu yang telah memperjuangkan hubungan yang saling menguntungkan negara kita,” katanya.

Ahmad Zahid juga dijadual menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China, yang dihoskan bersama Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC) dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Artikel Berkaitan:

Kehadiran beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara, turut diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.

Selain itu, Ahmad Zahid dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Penasihat Negara serta Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong di ibu negara China itu, pada sebelah petang.

Beliau juga akan menjadi tuan rumah bagi Majlis Resepsi Gala Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China pada sebelah malam.

Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 dan ini merupakan lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Sebelum ini menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan rasmi beliau adalah bagi memperkukuh hubungan dua hala dengan dijangka meneroka peluang kerjasama, terutamanya dalam bidang pendidikan memfokuskan kepada TVET pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!