'Balai ketibaan KLIA kembali normal'
SEPANG - Suasana sekitar Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lengang berbanding semalam yang difahamkan dipenuhi dengan pekerja asing dipercayai dari Bangladesh.
Tinjauan dijalankan mendapati keadaan di sekitar ruangan ketibaan untuk penerbangan antarabangsa dipenuhi oleh warga tempatan dan juga beberapa pelancong asing.
Selain itu, beberapa ruangan dalam kawasan sekitar Balai Ketibaan di sini juga tidak didapati kumpulan warga asing yang berkumpul seperti mana dipaparkan dalam video dan gambar tular sebelum ini.
Rata-rata orang ramai yang ditemui menyatakan keadaan agak lengang sekitar jam 3 petang.
Salah seorang individu yang mahu dikenali sebagai Ramli berkata, keadaan di Balai Ketibaan Antarabangsa ini agak tenang pada hari ini (Jumaat) berbeza daripada semalam.
"Semalam kebetulan saya ada mengambil penumpang di sini, memang ramai warga asing, mulanya saya tak tahu punca keadaan itu.
"Bila balik rumah saya lihat dalam portal berita tempatan, baru saya tahu yang mereka ini baru datang ke negara ini untuk bekerja, tapi pada saya walaupun ramai ketika itu, namun suasana terkawal sebab adanya petugas keselamatan," katanya yang merupakan pemandu teksi.
Menurut individu yang mahu dikenali sebagai Abdullah berkata, kehadiran warga asing ini seharusnya dipandang dari sudut yang positif.
"Saya bukannya bercakap mahu membela warga asing, tapi kita kena terima hakikat, mereka datang untuk cari rezeki, asalkan buat kerja yang sah dari segi undang-undang, pada saya itu bukan satu masalah.
"Saya ada baca juga tentang kehadiran mereka yang ramai semalam, tapi tengok hari ini, suasana di sini seperti biasa, bagi saya itu sesuatu yang tidak perlu disensasikan, mereka bukan buat benda salah," katanya.
Terdahulu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggesa majikan kepada pekerja asing yang tiba di Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, untuk hadir segera menyelesaikan urusan pemeriksaan bagi mengelak kesesakan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berlaku kadar peningkatan kemasukan pekerja asing disebabkan tindakan majikan yang membawa masuk pada saat akhir menjelang 31 Mei ini.
Jelasnya, bagi mengurus situasi berkenaan, JIM dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mengambil langkah segera untuk menguruskan kesesakan itu bagi memastikan keselesaan penumpang lain di KLIA terjamin.
Pada Khamis, beberapa portal tempatan termasuk hantaran media sosial memaparkan keadaan sekitar Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA di sini yang sesak dengan kehadiran warga asing.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!