Alamanda hargai, usaha penuhi keperluan pengunjung
KEMPEN ‘Golden Ticket’ kembali di Pusat Beli-belah Alamanda, Putrajaya bermula 18 Mei sehingga 3 Jun ini.
Pembeli yang berbelanja RM500 ke atas melalui dua resit dari kedai-kedai terpilih berpeluang untuk menyertai kempen tersebut.
Sebanyak 50 kotak misteri disediakan di ruang legar aras G dan peserta berpeluang memenangi sekeping ‘Golden Ticket’ bernilai RM1,000 atau ‘Yellow Ticket’ dalam bentuk baucar membeli-belah Alamanda.
Ketua Pengarah Urusan, Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan berkata, 50 cabutan tiket akan dilakukan setiap hari yang terdiri daripada sekeping ‘Golden Ticket’ dan 49 keping ‘Yellow Ticket’.
Lebih menarik katanya, tiga pemenang bertuah berpeluang untuk memenangi sebuah iPad jenama Apple melalui cabutan bertuah eksklusif yang akan diadakan selepas kempen tersebut.
“Setiap tiket yang tidak ditebus akan dibawa ke hari yang seterusnya, secara tidak langsung, pengunjung mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk membawa pulang ganjaran hebat,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu beliau berkata, Alamanda kini sedang menjalani pembaharuan besar-besaran buat pertama kali sejak penubuhannya pada 2004.
Jelasnya, pembinaan yang bermula pada 20 Jun 2023 itu dijadualkan siap pada suku keempat 2024.
“Pembangunan semula ini bertujuan untuk memperluas ruang beli-belah dengan kebesaran kira-kira 110,000 kaki persegi bagi menampung pelbagai perniagaan.
“Selain itu, ruangan hiburan yang diperbaharui, seperti pawagam mesra keluarga, kawasan boling yang diperluas dan taman pengembaraan di Esplanade akan memenuhi keperluan pengunjung dari pelbagai peringkat umur,” katanya.
Tambahnya, pembangunan semula ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan komuniti dan menyokong rakan perniagaan, sekali gus meningkatkan taraf Alamanda sebagai sebuah pusat komuniti yang dinamik di samping mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi membeli-belah pilihan di Putrajaya.
Dengan lokasi yang strategik dan kebolehcapaian yang sangat baik melalui lebuh raya utama, Pusat Beli-belah Alamanda merupakan pusat tumpuan untuk penduduk lebih daripada 76,000 pekerja profesional dan 147,000 pelajar.
"Aktiviti perniagaan akan berjalan seperti biasa semasa aktiviti pembangunan semula. Ini untuk memastikan gangguan yang minimum kepada pembeli dan penyewa," kata Francis.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!