Kim Swee sah Ketua Unit Pembangunan Belia FAM
BEKAS Ketua Jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee sah kembali ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai Ketua Unit Pembangunan Belia FAM.
Perkembangan itu disahkan Kim Swee yang bersetuju dengan pelantikan tersebut selepas FAM memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya sebagai pengendali skuad B-22 negara yang berakhir Disember lepas.
Menurut Kim Swee, beliau akan menggalas tanggungjawab tersebut untuk tempoh setahun bermula bulan ini, namun memberi bayangan beliau tidak akan memegang jawatan itu untuk satu tempoh panjang.
“Sudah tentu tugas saya tertumpu kepada pembangunan bola sepak di negara kita. Saya harap dengan adanya saya dalam unit ini, dapat membantu serba sedikit tentang pembangunan belia kita.
“Di peringkat pembangunan kita harus tahu ia memerlukan masa dan saya tidak akan berada di sini selama-lamanya, tetapi pembangunan pemain akan berlaku untuk masa yang panjang,” katanya ketika ditemui pemberita, selepas sesi post morterm Sukan SEA 2019 melibatkan sukan bola sepak di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.
Sebagai permulaan, Kim Swee berkata, beliau akan bekerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD), untuk merangka beberapa program pembangunan akar umbi.
“Saya akan bekerjasama dengan Saad (Saad Ichalalene) untuk merangka beberapa program, mengikut hala tuju FAM, AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan FIFA. Semua program pembangunan belia memerlukan masa yang panjang,” tambahnya.
Kim Swee yang membimbing Malaysia meraih pingat emas pada edisi Sukan SEA 2011 di Indonesia, tidak disambung kontrak susulan prestasi hambar skuad negara pada edisi 2019 di Filipina, Disember lepas yang menyaksikan Malaysia terkandas di peringkat kumpulan.
Dalam pada itu Kim Swee enggan menyalahkan mana-mana pihak atas kegagalan pasukannya, sebaliknya telah mengemukakan dua perancangan, untuk memastikan Malaysia turun beraksi pada temasya dwi tahunan itu dengan sasaran yang tepat.
“Sesi post morterm ini bukan untuk menuding jari. Apa yang berlaku di Sukan SEA, saya telah terangkan sebelum ini jadi saya tak nak menyentuh mengenai penyebab kegagalan, yang dibincangkan di dalam.
“Tetapi kita (FAM) mempunyai dua perancangan: A dan B untuk Sukan SEA akan datang, tetapi terpulang kepada pihak atasan untuk tentukan sama ada kita ingin dapatkan keputusan yang baik, atau kita inginkan pendedahan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!