Pemilik kolam halalkan kelisa yang terlepas

Tangkap layar video yang tular memaparkan penduduk berpesta menangkap ikan kelisa yang hanyut selepas kolam takungan pecah di Layang Layang, Kluang pada Rabu.
Tangkap layar video yang tular memaparkan penduduk berpesta menangkap ikan kelisa yang hanyut selepas kolam takungan pecah di Layang Layang, Kluang pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemilik kolam ikan hiasan kelisa di Layang-Layang, Kluang menghalalkan ikan-ikannya yang hanyut dan diambil orang ramai selepas kolam takungan ternakannya itu pecah.

Menurutnya yang hanya mahu dikenali sebagai Ng, ini kerana usaha mendapatkan kembali kira-kira 15,000 hingga 18,000 ternakan itu adalah mustahil dan perkara yang rumit.

Dia yang menjalankan ternakan ikan hiasan kelisa atau dikenali juga sebagai Arowana sejak 35 tahun itu percaya, ikan-ikan itu hanyut ke merata tempat dan bukan kawasan di berhampiran sahaja.

Justeru dia berharap tiada pihak yang menyalahkan atau terus mengecam penduduk kampung berdekatan kolam ternakannya.

"Perkara sudah berlaku dan di luar kawalan saya. Saya mahupun orang kampung tidak bersalah, jangan mengecam kejadian ini kerana ia berlaku tanpa diduga.

"Saya sudah lama menjalankan perusahaan ini dan memiliki hubungan baik dengan penduduk kampung, biarlah mereka mengambil atau sebaliknya ikan yang ditemukan," katanya ketika dihubungi.

Ng berkata, setiap satu ikan Arowana induk berkenaan berharga RM20,000 dan dalam kejadian itu dia terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit.

Dia berharap akan tabah menghadapi situasi sukar berkenaan dan mahu memandang terus ke depan dengan perancangan baharu dengan memindahkan perusahaannya ke lokasi lebih sesuai.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian ini mungkin berpunca daripada kerja pembinaan infrastruktur tertentu, diharap pihak berkaitan menjalankan siasatan segera. Saya sudah melaporkan kejadian kepada pihak polis dan akan mengambil tindakan mahkamah," katanya.

Pada Rabu media melaporkan ribuan ikan hiasan spesies Arowana ditemukan dalam kawasan anak sungai dan parit sekitar kawasan Layang dan Simpang Renggam sejak Rabu.

Ikan hiasan bersisik emas dan putih dalam anggaran berat dua kilogram itu dipercayai dihanyutkan dari kawasan kolam ternakan kawasan berdekatan.

Berikutan itu penduduk sekitar tidak melepaskan peluang menangkap ikan terbabit menggunakan jala dan jaring.

Malah ada yang menjadikan ikan hiasan berkenaan sebagai hidangan makan tengah hari.

Video aktiviti penduduk menangkap ikan berkenaan tular dalam media sosial sejak Khamis.

Difahamkan spesies ikan berkenaan turut hanyut hingga ke Sungai Sayong dan Kota Tinggi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!