'Selagi soalan saya tidak dijawab, saya tidak akan beri maklum balas'
SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari memaklumkan menerima notis baharu yang menuntut beliau membalas arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam tempoh sebulan.
Bagaimanapun Abdul Rashid berkata, beliau tidak akan membalas arahan bertulis itu selagi parti berkenaan gagal memberi penjelasan mengenai tiga perkara yang dikemukakan sebelum ini.
“Selagi soalan-soalan saya tidak dijawab maka saya tidak akan memberi maklum balas terhadap kandungan notis yang dikeluarkan oleh pihak Bersatu Pusat,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Pada 17 Mei, media melaporkan semua wakil rakyat Bersatu termasuk enam ahli Parlimen dan ADUN yang berpaling tadah dengan menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan diberi tempoh 14 hari untuk menyatakan pendirian mereka.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sekiranya mereka gagal untuk membalas surat tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, keahlian mereka dalam parti akan terhenti serta-merta dan status sebagai wakil rakyat akan tergugur.
Pada 27 Mei lalu, Abdul Rashid mempertikaikan keabsahan arahan bertulis yang dikeluarkan MPT Bersatu dan meminta penjelasan Ahli Parlimen Larut mengenai tiga perkara berkaitan keputusan arahan tersebut.
Antaranya, pengesahan status keahlian dua ahli MPT, penjelasan mengenai tarikh dan tempat perbincangan dibuat dan senarai kehadiran ahli MPT serta meminta satu salinan minit mesyuarat itu.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid mendedahkan bahawa notis arahan bertulis MPT Bersatu itu menuntut beliau untuk menyatakan alasan tunjuk sebab terhadap ceramah yang dibuat olehnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
“Saya juga diminta untuk membuat penjelasan tentang sokongan kepada Menteri Besar Selangor.
“Bukan itu sahaja, notis berkenaan juga minta saya tarik balik sokongan dan menandatangani surat pengesahan bahawa saya menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai tentang keperluan untuk mengosongkan kerusi susulan ingkar arahan parti, Abdul Rashid berkata, pindaan perlembagaan Bersatu yang baharu itu berkuat kuasa 1 April dan tidak terpakai kepada dirinya dan enam lagi Ahli Parlimen Bersatu.
Menurutnya, MPT Bersatu tidak boleh menggunakan pindaan baharu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kepada ahli yang telah mengambil tindakan awal.
“Saya dan enam lagi Ahli Parlimen Bersatu masih tertakluk kepada perlembagaan lama.
"Mereka tidak boleh gunakan pindaan baharu ini untuk mengambil tindakan terhadap kami semua. Itu dari segi perundangan,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!