Mana hilangnya Hannah Yeoh versi 2012 - MCA

Sin Woon
Sin Woon
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon menyindir ke mana hilangnya beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menghentikan pemberian kontrak kepada kroni.

Menerusi sebuah video di TikTok, bekas timbalan menteri pendidikan itu mendakwa kelantangan tersebut tidak lagi dilihat selepas mereka menjadi kerajaan terutama dalam kontroversi membabitkan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

"Di mana Hannah Yeoh versi 2012 yang lantang mengkritik BN dengan gesaan menghentikan kontrak kepada kroni. (Menteri Ekonomi) Rafizi Ramli (juga) pernah berkata, monopoli (oleh kroni bagi) projek-projek besar oleh satu syarikat menyebabkan kerajaan tidak mendapat harga yang terbaik berbanding jika diadakan secara tender terbuka.

"Mana hilangnya hero DAP, (bekas setiausaha publisiti DAP) Tony Pua yang juga mengkritik BN berhubung tender terbuka ini. Berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Pua (juga) pernah berkata rakyat Malaysia akan lebih gembira jika projek itu dijalankan secara tender terbuka dan kompetitif agar pembayar cukai mendapat nilai yang terbaik daripada wang mereka," katanya pada Khamis.

Pada Selasa, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mendakwa sehingga kini tiada sebarang komen daripada kepimpinan DAP mengenai pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor secara terus kepada syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) yang dimiliki bersama suami Hannah.

Menurutnya, sikap berdiam diri dalam isu berkenaan juga bercanggah dengan amalan CAT yang dicanangkan oleh kepimpinan DAP sebelum ini iaitu kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Khamis menjelaskan tidak timbul isu tender terbuka berhubung pelantikan dua syarikat pengendali projek rintis DRT tersebut.

Amirudin berkata, proses kelulusan dibuat selepas pertimbangan dan rujukan daripada Agensi Pengangkutan Awam dan Darat (APAD) yang memaklumkan hanya dua syarikat berkenaan telah diberikan kebenaran proof of concept (POC).

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!