MDA turunkan 14,000 iklan online peranti perubatan
SHAH ALAM - Penjualan peranti perubatan yang tidak sah secara dalam talian mencatatkan jumlah yang tinggi berdasarkan pemantauan yang dilakukan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Eksekutif MDA, Dr Muralitharan Paramasua berkata, kumpulan peniaga secara dalam talian merasakan mereka seakan tidak dipantau.
“Sebaliknya MDA mempunyai unit yang memantau secara rapi segala pergerakan dilakukan.
“Pada 2023, sebanyak 14,000 iklan peranti perubatan telah diarahkan berhenti beroperasi termasuk iklan melibatkan produk tekanan darah serta termometer,” katanya.
Justeru, tegas beliau, usah beranggapan bahawa MDA tidak akan mengambil tindakan, sebaliknya agensi itu sama sekali tidak akan berkompromi.
Katanya, penguatkuasaan ketat dan operasi berterusan akan terus dilaksanakan.
Beliau memberitahu, pelbagai kaedah digunakan bagi memberkas pesalah, selain mendapat penyaluran maklumat daripada pihak pengguna.
Menyentuh mengenai aktiviti penyeludupan, Dr Muralitharan berkata, cubaan menyeludup masuk peranti perubatan masuk ke dalam negara dibuat secara penghantaran parcel udara dan jalan laut dengan menggunakan kontena.
Katanya, bagi kemasukan melalui laluan udara, ada pihak yang cuba menipu penguat kuasa dengan menyatakan ia merupakan kegunaan peribadi.
“Peranti yang dibawa masuk dalam jumlah kecil untuk kegunaan peribadi tidak perlu didaftarkan dan kesempatan itu digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk menipu pihak berkuasa bagi menyeludup masuk dengan tujuan komersial,” ujarnya.
Sementara bagi kemasukan melalui jalan laut, kata beliau, pihak tidak bertanggungjawab itu akan mencampurkan peranti perubatan yang belum didaftarkan bersama produk yang telah diperakui serta diluluskan.
Menurutnya, dengan tindakan itu, ia dilihat mampu mengaburi pihak berkuasa yang bertugas di pintu masuk negara.
“Namun, tindakan licik ini selalu dapat dikesan oleh pihak berkuasa sama ada MDA atau Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” ujarnya.
Jelas beliau, permintaan ke atas peranti perubatan terutama kit ujian bagi kes denggi, influenza serta HIV adalah tinggi.
“Meskipun jumlah kes tidak meningkat pada masa ini, namun ia tetap dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Ia seakan tidak boleh dielak ekoran permintaan barangan tidak berdaftar sentiasa ada kerana harga yang ditawarkan adalah jauh lebih murah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!