Ingatan kuat berkat hafal al-Quran
SHAH ALAM - Penekanan terhadap hafazan al-Quran merupakan salah satu kunci kejayaan pelajar maahad tahfiz yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd Zahid Mahmood berkata, individu yang mampu menghafal ayat suci al-Quran mempunyai daya ingatan yang kuat dan memiliki fikiran tenang.
“Sama seperti teknik menghafal al-Quran yang memerlukan proses berulang, begitu juga dengan nota-nota pelajaran. Teknik berkenaan akan membantu menguatkan daya ingatan sekali gus mengukuhkan kefahaman tentang sesuatu perkara.
“Pembahagian masa belajar perlu diberi sama rata, di maahad tahfiz kita ada tiga fokus utama iaitu hafazan, akademik dan diniah. Semua ini kena seimbang, barulah pelajar akan mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Zahid berkata, faktor lain yang mendorong kejayaan tersebut adalah disebabkan proses tapisan di peringkat awal sebelum pelajar diterima masuk ke maahad tahfiz.
“Ada syarat ditetapkan kepada mereka jika mahu dipilih masuk ke maahad tahfiz antaranya kebolehan menghafal satu muka surat al-Quran tidak melebihi satu jam dan memperoleh keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang baik.
“Bagi tenaga pengajar pula, kita memang menekankan guru yang mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan mengikut subjek sedia ada tetapi kita juga ada tambahan dari institusi pengajian tinggi sekitar maahad tahfiz untuk bantu pelajar.
“Jadi dengan kaedah yang digunakan ini, ia telah membantu pelajar memahami dengan lebih baik berkaitan mata pelajaran diambil,” jelasnya.
Di KOTA BHARU, Kelantan, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, selain usaha pelajar sendiri, keputusan membanggakan calon SPM 2023 bagi sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan adalah hasil kerjasama ibu bapa dan guru-guru.
Menurut beliau, kesemua guru berusaha melaksanakan setiap perkara baharu termasuk teknik menjawab soalan dan sukatan mata pelajaran yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan. Beliau memberitahu, guru-guru yang terlibat dengan peperiksaan dengan cepat akan berkongsi bersama pelajar selain tidak jemu mengadakan kelas tambahan.
Sementara itu, pelajar cemerlang Maahad Mardiah Tarbiah, Panchor, Siti Zaharah Ismail, 18, mengakui dia dan rakan-rakan sentiasa meminta guru untuk mengadakan kelas tambahan.
“Saya pelik jika ustazah tidak mengadakan kelas tambahan kerana bimbang mereka berkecil hati dengan kami, Jadi kami akan bertemu dan meminta maaf sebelum merayu diadakan kelas tambahan,” katanya yang mendapat semua A dalam 10 mata pelajaran.
Siti Zaharah yang juga anak yatim piatu bergantung sepenuhnya kepada kelas tambahan di sekolah kerana tidak mampu menghadiri kelas tuisyen berbayar.
INFO
ANTARA SEKOLAH CEMERLANG SPM 2023
SEKOLAH GPS
1. Maahad Tahfiz Negeri Pahang 1.07
2. Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya 1.07
3. Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan 1.25
4. SM Sains Tuanku Munawir, Negeri Sembilan 1.25
5. Kolej Yayasan Saad, Melaka 1.25
6. Sekolah Seni Malaysia, Johor 1.27
7. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya 1.28
8. Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 1.32
9. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Selangor 1.38
10. SM Sains Kuala Terengganu 1.40
11. SM Sains Tuanku Aishah Rohani, Negeri Sembilan 1.40
12. Sekolah Agama Menengah Bestari, Selangor 1.40
13. Sekolah Tun Fatimah, Johor 1.42
14. SM Sains Kota Tinggi, Johor 1.44
15. SMKA Sultan Azlan Shah, Perak 1.45
16. SMKA Putrajaya 1.46
17. MRSM Tun Ghafar Baba, Melaka 1.49
18. SBI Kuantan, Pahang 1.50
19. SMKA Kerian, Perak 1.50
20. SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang 1.53
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!