Gaji minimum lebih tinggi tingkat produktiviti tenaga mahir
SHAH ALAM - Gaji minimum lebih tinggi bagi sektor berteknologi tinggi perlu dilaksanakan bagi membantu meningkatkan produktiviti tenaga kerja mahir dan mencipta lebih banyak inovasi baharu untuk pembangunan ekonomi negara.
Koordinator Pusat Keusahawanan Mahasiswa Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, gaji lebih tinggi mencerminkan tahap kepakaran dan sumbangan kritikal pakar kepada organisasi mereka.
“Penawaran gaji minimum yang tinggi adalah penting untuk menarik dan mengekalkan bakat terbaik dalam sektor seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber serta bioteknologi.
“Pelaksanaan ini mampu meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pasaran global berteknologi tinggi dengan memupuk tenaga kerja yang berkebolehan dan diberi ganjaran terbaik,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, syarikat dan pemain industri terutama sektor teknologi perlu menawarkan gaji lebih tinggi kepada pekerja mahir bagi menangani beberapa isu yang telah lama wujud seperti tenaga tempatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, disebabkan itu, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 penting untuk memastikan hasrat melihat gaji median pembuatan meningkat dua kali ganda daripada RM2,205 sebulan pada tahun 2022 kepada RM4,510 sebulan menjelang 2030.
Mengulas lanjut, menurut Mohamad Idham, bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan perlu meningkatkan pembangunan kemahiran secara berterusan bagi memenuhi keperluan industri.
Ujarnya, bidang berkemahiran tinggi mampu mewujudkan pertumbuhan ekonomi baharu dan meningkatkan penawaran gaji pekerja berkemahiran tinggi.
“Penjajaran antara kemahiran dan keperluan industri ini bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti tetapi juga meningkatkan kuasa tawar-menawar pekerja, yang membawa kepada gaji yang lebih tinggi.
“Negara-negara seperti Singapura dan Korea Selatan telah berjaya meningkatkan gaji dalam industri teknologi tinggi dengan mewujudkan keadaan yang menggalakkan untuk kemajuan teknologi serta pertumbuhan perniagaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!