Semangat baharu pelapis arena ragbi negara
KEJOHANAN Super Schools Rugby 15’s kembali menemui peminat sukan ragbi tempatan dengan aksi melibatkan pasukan-pasukan sekolah terbaik dari seluruh negara bermula Mac depan.
Acara tahunan yang dianjurkan sejak 2013 merupakan edisi ketujuh tahun ini menyaksikan peningkatan jumlah pasukan bertanding daripada lapan pasukan tahun lalu kepada 12 pasukan.
Pengarah kejohanan, Shahrizin Shaharudin berkata, perkembangan tersebut bakal memberi nafas baharu kepada kejohanan edisi ini.
“Super Schools Rugby 15’s sentiasa memasang impian untuk meluaskan penganjuran ke seluruh negara. Menerusi penambahan empat pasukan baru, kita bakal melihat jumlah negeri yang terlibat bertambah kepada lapan.
“Kami amat berhati-hati dalam pemilihan pasukan yang terlibat dan yakin bahawa sekolah yang terpilih akan meningkatkan lagi kualiti pertandingan," katanya pada majlis undian dan taklimat pasukan di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur di sini.
Dalam majlis undian dan taklimat pasukan, juara bertahan SM Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) bakal menghadapi cabaran Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) dan wakil tunggal Johor Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) dalam kumpulan A.
Dua pasukan baru, Kolej Yayasan Saad (KYS) dan SM Sains Tuanku Jaafar (STJ) bakal berentap di kumpulan B bersama-sama wakil Negeri Sembilan Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR).
Sementara itu, juara dua kali Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) bakal beraksi menentang SM Sains Selangor (SMSS) dan gergasi ragbi Kedah, Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) dalam kumpulan C.
Manakala wakil Perak, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) pula melengkapkan kumpulan D bersama dua wakil Lembah Klang, Victoria Institution (VI) dan Maktab Tentera Darat (MTD).
Shahrizin turut menyatakan tiada pasukan boleh dianggap pilihan untuk meraih kejuaraan.
“Berdasarkan sejarah, tiada pasukan boleh dilabel bakal juara. Setiap pasukan membuat persediaan rapi bagi menghadapi kejohanan ini, oleh itu tiada satu pun perlawanan yang boleh dianggap mudah untuk mana-mana pasukan.”
Dahulu dikenali sebagai Super Six Schools Rugby, kejohanan ini adalah satu-satunya pertandingan ragbi 15 sebelah yang mengumpulkan pasukan-pasukan ragbi sekolah terbaik dari seluruh negara.
UNDIAN PERINGKAT KUMPULAN
Kumpulan A: Sekolah Sultan Alam Shah, SM Sains Hulu Selangor, Maktab Sultan Abu Bakar
Kumpulan B: Kolej Yayasan Saad, Sekolah Dato’ Abdul Razak, SM Sains Tuanku Jaafar
Kumpulan C: Kolej Sultan Abdul Hamid, SM Sains Selangor, Kolej Melayu Kuala Kangsar
Kumpulan D: Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Victoria Institution, Maktab Tentera Diraja
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!