PBAKL 2024: Pelbagai aktiviti menarik di reruai Karangkraf

Kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna di reruai Karangkraf ketika PBAKL 2024. Gambar kecil: Nurul Farehah
Kanak-kanak yang menyertai pertandingan mewarna di reruai Karangkraf ketika PBAKL 2024. Gambar kecil: Nurul Farehah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai pertandingan dan aktiviti menarik setiap kali mengunjungi reruai Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula 24 Mei lalu sehingga 2 Jun.

Eksekutif Pemasaran Digital Grup Buku, Nurul Farehah Mohd Lokman berkata, antara aktiviti ditawarkan adalah pertandingan mewarna, membaca buku cerita dan surah pilihan, #BookLove Challenge serta Karangkraf Sweep Challenge.

Katanya, aktiviti itu diadakan setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 6 petang mengikut slot disediakan kecuali Sweep Challenge.

“Sweep Challenge istimewa sikit sebab kita hanya buat dua kali sepanjang jualan buku diadakan iaitu pada 25 Mei dan 1 Jun.

“Konsep program ini adalah pengunjung diberi peluang memenuhkan buku ke dalam beg di reruai Karangkraf dalam masa 15 saat dengan yuran pendaftaran RM20. Kita terima lebih 500 penyertaan dan hanya 20 pengunjung terpilih.

“Namun ada juga program lain setiap hari. Saya galakan orang ramai bawa anak-anak dan sertai semua pertandingan atau aktiviti disediakan,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tambah Nurul Farehah, lebih menarik apabila semua penyertaan akan diberi hadiah tidak kira menang atau kalah.

Menurutnya, ibu bapa dan anak-anak dapat melakukan aktiviti bersama sambil beli-belah bahan bacaan di reruai Karangkraf.

Artikel Berkaitan:

“Datang ke Karangkraf bukan sekadar beli barang, anak-anak pun dapat meluangkan masa bersama buku dengan menyertai aktiviti disediakan. Itu cara kami menghargai pengunjung hadir.

“Alhamdulillah, sepanjang lapan hari PBAKL berlangsung, sambutan untuk menyertai pertandingan sangat memberangsangkan. Saya harap orang ramai tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti di reruai Karangkraf,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!