Sanggup 'detailing' kereta jiran secara percuma demi 'content'

Tangkap layar video yang dimuat naik Noorizwan menerusi TikTok sehingga menjadi tular baru-baru ini.
Tangkap layar video yang dimuat naik Noorizwan menerusi TikTok sehingga menjadi tular baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Demi menghasilkan kandungan video di TikTok, seorang lelaki sanggup melakukan pembersihan dan membaik pulih kenderaan (detailing) milik jirannya secara percuma.

Pekerja pembinaan, Noorizwan Mohd Ismail berkata, dia sering meletakkan keretanya di luar pagar rumah sebelum jirannya, Ahmad Hafidzuddin Ahmad Hilmi, 36, menghubungi dan meminta izin untuk melakukan servis tersebut.

Menurutnya, ia bukan kali pertama Ahmad Hafidzuddin membuat servis tersebut terhadap kereta milik jiran-jirannya yang lain tanpa menerima sebarang bayaran atau upah.

“Sebenarnya dia (Ahmad Hafidzuddin) memang ada kedai membuat 'detailing' kereta di Sijangkang, Selangor. Jadi, dia suka tanya jiran-jiran kerana mahu pinjam kereta untuk dijadikan bahan kandungan di media sosial.

“Saya sering parkir kereta di luar pagar rumah. Pada hari kejadian, dia WhatsApp saya beritahu mahu pinjam kereta untuk buat video di TikTok.

“Saya izinkan sahaja, pada masa sama saya perhatikan dari dalam rumah dan rakam gelagat dia. Saya tidak sangka pula video rakaman yang dimuat naik oleh saya di TikTok menjadi tular dan mendapat perhatian netizen,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah lelaki berusia 37 tahun tersebut, jiran-jirannya tidak berasa pelik atau janggal dengan tindakan Ahmad Hafidzuddin berikutan memiliki keakraban yang kuat dan sudah terbiasa dengan sikapnya itu.

“Boleh dikatakan setiap hari dia akan cari benda untuk dicuci termasuklah kereta sendiri dan jiran tetapi kejiranan kami tidak pernah kisah kerana dia bukan buat perkara yang mendatangkan masalah.

Artikel Berkaitan:

"Kalau datang ‘mood’ rajin, dia boleh cuci keseluruhan kereta kami secara percuma sahaja. Ada juga jiran saya mahu bayar kerana sudah detailing kereta mereka tetapi ditolak dengan alasan dia rasa puas bila buat.

“Kami sering bergurau mengatakan dia ada gangguan obsesif kompulsif (OCD) kerana pantang tengok benda-benda kotor tetapi dia tidak mengaku. Bukan setakat kereta, malah topi keledar dan motosikal pun dia cuci sampai kilat,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!