Dulu Warung Senget, kini Warung Buluh
PADANG BESAR - Pemilik warung berdekatan Kem Bukit Keteri, Chuping di sini menggunakan kepakaran menukang menghasilkan kelengkapan kedainya menggunakan buluh.
Abdul Rahman Abu Bakar, 60, berkata, warungnya sebelum ini dikenali sebagai Warung Senget namun sejak semua kelengkapan kedai dibuat daripada buluh, warungnya kini dikenali sebagai Warung Buluh.
Katanya, idea untuk membuat warung berkonsepkan buluh itu timbul selepas sering pulang ke rumah isterinya di Thailand.
"Di sana banyak warung yang klasik seperti ini dan seingat saya belum ada warung buluh di Perlis. Dari situ saya mula gunakan kepakaran yang ada cipta semua kelengkapan menggunakan buluh," katanya ketika ditemui di warungnya di sini pada Jumaat.
Abdul Rahman yang berpengalaman selama 43 tahun sebagai tukang rumah berkata, antara hasil air tangannya termasuk meja, kerusi, bekas tisu, kerusi bayi dan hiasan dalam kedai.
"Buluh cari di kebun saya di Kampung Seri Manis, jadi modal cuma beli paku dan syelek sahaja.
"Ini pun ada perancangan untuk tambah lagi perhiasan lain sedikit demi sedikit supaya dari jauh orang dah boleh nampak keunikan warung saya," ujarnya.
Jelasnya, ramai pelanggan yang datang ke warungnya berminat untuk membeli hasil kerjanya itu.
"Ada yang tawar kerusi bayi saya buat tu dengan harga RM100, tapi saya cakap terus terang kat mereka, saya memang tak jual.
"Ada juga yang merayu untuk saya buka tempahan, mereka minta buat set kerusi meja.Tapi saya tak berani, sebab apabila mula buka tempahan, saya tak boleh fokus kepada warung pula nanti," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!