PN junjung kasih komitmen Tunku Mahkota Ismail

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menyambut baik dan menjunjung kasih atas kenyataan berprinsip Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkait siasatan kes seorang anggota pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya terhadap seorang orang awam di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 28 Mei lepas.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu juga menjadi cerminan kepada mutu kepimpinan baginda.

"PN percaya komitmen baginda kepada kedaulatan serta proses undang-undang, menolak tindakan atau ugutan yang menyalahinya.

"Jaminan keadilan kepada mangsa adalah sesuatu yang diharapkan oleh semua rakyat dalam sebuah negara yang demokratik dan bermaruah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kejadian seorang pengiring keselamatan yang didakwa memukul pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya pada Selasa lalu.

Baginda menegaskan tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi dan mahu tindakan mengikut undang-undang diambil demi memberi keadilan kepada mangsa.

Sementara itu, Takiyuddin dalam masa sama memaklumkan gabungan berkenaan turut mengalu-alukan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa pasukannya sedang menjalankan siasatan menyeluruh kes berkaitan dan pihak terbabit akan dipanggil ke Bukit Aman.

"Jaminan beliau bahawa tiada pelaku akan dibenarkan terlepas daripada tindakan tegas tanpa kompromi dan komitmen pasukan untuk mempertahankan keadilan serta melindungi hak individu juga disambut baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!