'Allahyarham ada mengadu letih semasa tawaf' - Isteri

Allahyarham Mohd Zahir dilaporkan meninggal dunia di Makkah akibat serangan sakit jantung pada malam Rabu lepas. Gambar kiri: Pauziah
Allahyarham Mohd Zahir dilaporkan meninggal dunia di Makkah akibat serangan sakit jantung pada malam Rabu lepas. Gambar kiri: Pauziah
A
A
A

MAKKAH - [DIKEMAS KINI] Jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia Rabu lepas, Allahyarham Mohd Zahir Ismail, pernah mengadu letih semasa melakukan tawaf sebelum rebah ketika dalam perjalanan hendak melakukan solat sunat tawaf selepas lengkap melakukan tujuh pusingan tawaf bersama isteri, Pauziah Othman.

Pauziah, 58, berkata, ketika kejadian mereka berdua bersama jemaah lain dari Maktab 78 sedang melakukan tawaf bagi umrah pertama selepas selamat tiba dari tanah air beberapa jam sebelum itu.

"Semasa tawaf dia ada bagi tahu letih, tetapi makcik kata sabar kita buat pelan-pelan (perlahan-perlahan). Tetapi tak sangka dia letih sangat sebab dia ikut belakang...makcik tak tengok (dia).

"Selepas cakap macam itu, dia masih pegang (tangan), dia ikutlah sambil makcik cakap sabar kita dah nak habis dah, dia kata boleh saja," katanya ketika ditemui petugas media di hotel penginapan.

Bagaimanapun ketika hendak keluar dari Mataf untuk menunaikan solat sunat tawaf, Pauziah berkata, Mohd Zahir yang masih berpaut pada lengannya ketika itu menyebut 'Allahuakbar' sebelum tiba-tiba jatuh terlentang dan menyebabkan dia turut terjatuh.

Ketika itu katanya, dia segera melindungi suaminya dengan badan untuk mengelak dipijak jemaah lain sebelum dibantu jemaah dari maktab yang sama.

Menurutnya, tidak lama kemudian beberapa askar datang membantu dan mengangkat Allahyarham ke atas buggy untuk dibawa ke klinik masjid, sebelum dikejarkan ke sebuah hospital bagi rawatan lanjut.

Namun, Mohd Zahir seorang bekas askar, disahkan meninggal dunia oleh Hospital Arab Saudi akibat serangan jantung.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Allahyarham Mohd Zahir telah disolatkan selepas waktu Zohor di Masjidil Haram, Khamis lepas dan dikafankan menggunakan kain ihramnya.

Pauziah yang berasal dari Kubur Panjang, Pendang, Kedah berkata, sepanjang mendirikan rumah tangga selama 26 tahun, Allahyarham yang merupakan bekas tentera tidak pernah mempunyai masalah jantung malah seorang yang sihat dan selalu berkebun.

Kata Pauziah, suaminya itu seorang yang kuat mengusik, suka bergurau dan amat menyayangi dirinya.

Justeru, apa yang sangat diingatinya tentang Allahyarham ialah jenaka-jenaka serta baik budi suaminya itu semasa hayatnya.

"Kenangan. Itulah. Dia (Mohd Zahir) seorang yang kuat mengusik, lebih-lebih lagi dengan ibunya yang dia jaga. Dia juga seorang yang baik, banyak bantu orang tidak kira siapa. Lagipun, dia banyak bantu di rumah.

"Dia anak yang taat, jaga ibunya, Zariah Safar yang terlantar sakit. Makan, pakai dan solat ibunya, dia jaga semua. Dia suami yang baik sepanjang hidup dengan saya, cuma kami berdua. Sebab kami berdua, selama 28 tahun, susah senang, apa-apa kami kongsi bersama," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!