Taktik jadikan kondominium, rumah teres tempat proses dadah terbongkar
JOHOR BAHRU - Taktik sindiket pengedaran dadah antarabangsa di sini yang menjadikan kondominium dan rumah teres 'gated dan guarded' sebagai tempat dan memproses dadah, terbongkar hasil serbuan serentak polis kontinjen Johor di kawasan Johor Bahru, Seri Alam dan Iskandar Puteri, Rabu lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman, Datuk Khaw KoK Chin, serbuan yang dilakukan mulai 3.40 petang sehingga 8.30 malam itu, telah berjaya menahan seramai 14 suspek melibatkan dua lelaki warga tempatan, enam lelaki serta enam wanita warga asing, berusia 22 hingga 52 tahun ditangkap.
Katanya, sindiket berkenaan dipercayai mula aktif sejak awal 2024 dan semua suspek yang ditangkap dipercayai terlibat dengan aktiviti memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah dadah sebelum diedarkan ke negara jiran.
"Dalam operasi ini, pihak JSJN Johor turut membongkar tempat memproses dan pembungkusan dadah selain merampas dadah dengan anggaran berat 198.54 kilogram (kg) dan dianggarkan bernilai RM11.6 juta di mana ia dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 1.24 juta penagih dadah.
"Turut dirampas pelbagai jenis dadah melibatkan serbuk ekstasi, syabu, ketamin, pil ektasi, pil eramin 5, MDMA serta bahan-bahan kimia untuk memproses dadah.
"Selain itu, harta-harta sindiket turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 melibatkan enam kenderaan seperti Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Honda CRV, Lexus, Toyota Vios dan Perodua Kancil.
"Turut dirampas, 11 utas jam tangan pelbagai jenis termasuk tiga jam rolex, 13 bentuk pelbagai barang lemas, wang tunai RM204,069, Dollar Singapura 22,970, dengan jumlah nilai sitaan RM1,179, 491.
Pihak JSJN berharap agar masyarakat kaan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka.
Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!