OKU dakwa dipukul: AMK gesa IPCMC segera ditubuhkan

Polis mengesahkan menerima laporan daripada pemandu e-hailing yang mendakwa dipukul pengawal peribadi seorang kenamaan di lobi sebuah hotel di sini pada Selasa.
Polis mengesahkan menerima laporan daripada pemandu e-hailing yang mendakwa dipukul pengawal peribadi seorang kenamaan di lobi sebuah hotel di sini pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC) segera ditubuhkan bagi mengekang salah laku polis susulan insiden membabitkan seorang pemandu e-hailing yang mendakwa dipukul seorang pengawal pengiring rombongan kenamaan baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusatnya, Farah Ariana Nurazam berkata, ini kerana peruntukan yang terkandung dalam Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang diguna pakai ketika ini dilihat masih lemah.

Farah Ariana
Farah Ariana

Menurutnya, kontroversi membabitkan pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU) itu hingga turut mengaitkan integriti pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja menjejaskan imej pihak berkuasa tetapi turut boleh menggugat kepercayaan masyarat terhadap pasukan keselamatan berkenaan.

"Mangsa juga dikhabarkan melalui tekanan daripada pihak berkuasa untuk bersetuju ‘menyelesaikan’ kes dan menerima ganti rugi jika tidak mahu telefon bimbitnya dirampas pihak polis. Pilihan yang diberi tidak masuk akal mengambil kira mangsa perlu bergantung kepada telefon bimbit untuk meneruskan pekerjaannya sebagai pemandu e-hailing.

"Insiden ini jelas menjejaskan integriti pihak PDRM serta kepercayaan rakyat terhadap pihak polis dalam memastikan kesejahteraan dan membela nasib mereka yang tidak mempunyai kuasa atau pengaruh besar.

"Nilai keadilan dan ketelusan mestilah dipupuk dalam setiap proses membuat keputusan dan mestilah berlandaskan undang-undang. Sudah tiba masanya IPCMC ditubuhkan bagi mengekang salah laku polis dengan lebih efektif dan mempromosikan integriti yang lebih utuh dalam kalangan pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, seorang pemandu e-hailing membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal peribadi ketika menunggu penumpang di lobi di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di bahagian kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kejadian seorang pengiring keselamatan yang didakwa memukul pemandu e-hailing yang juga OKU pada Selasa lalu.

Baginda menegaskan tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi dan mahu tindakan mengikut undang-undang diambil demi memberi keadilan kepada mangsa

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau pegawai polis yang didapati terlibat berhubung kejadian berkenaan.

Menurutnya, kesemua pegawai yang terlibat dalam insiden itu akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!