Jangan ambil kesempatan naik harga barang - Fuziah
SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengingatkan kepada para peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan jualan apabila berlakunya permintaan yang tinggi pada musim perayaan Hari Raya Aidiladha ini.
Timbalan menterinya, Fuziah Saleh berkata, harga berkenaan perlulah munasabah atau mereka bakal berdepan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
"Kita ada dalam 1,000 orang pegawai pemeriksa harga yang memantau setiap hari dengan lebih 2,200 penguatkuasa KPDN di seluruh negara membabitkan pemeriksaan di premis-premis, pasar-pasar termasuklah kedai runcit.
"Tiada pelaksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidiladha 2024, tetapi kita akan pantau harga seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) 2024 di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, katanya, KPDN juga membuat pemantauan terhadap barangan kawalan lain termasuklah minyak masak peket yang mana kadang-kadang ketirisan itu berlaku juga apabila restoren-restoren turut menggunakan minyak masak peket.
Sementara itu, Fuziah berkata, lebih 60,000 kilogram makanan dan minuman dengan anggaran nilai RM700,000 berjaya diselamatkan di 147 bazar Ramadan seluruh negara menerusi program MySaveFood Ramadan lepas membabitkan 2,000 sukarelawan.
Beliau berkata, kempen digerakkan kementerian dengan rakan strategik iaitu Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) daripada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) itu turut bertujuan membentuk keperibadian baik dalam kalangan anak muda.
“Program itu juga mendapat kerjasama setiap pihak berkuasa tempatan dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). Kita berhasrat program ini dapat diteruskan ke pasar malam pula selepas ini,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!