Indahnya seni khat kanak-kanak autisme ini

Antara hasil seni tulisan khat yang ditulis dan dihias sendiri oleh kanak-kanak autisme, Ahmad Danish Aqil.
Antara hasil seni tulisan khat yang ditulis dan dihias sendiri oleh kanak-kanak autisme, Ahmad Danish Aqil.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebuah radio kecil yang tidak henti mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran menjadi teman setia seorang kanak-kanak autisme dalam menghasilkan seni tulisan khat yang begitu indah.

Ahmad Danish Aqil Fakhrul Azizi,11, pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Parang Puting di sini itu juga pesakit jantung berlubang dan injap sempit sejak usianya setahun.

Bapa kanak-kanak itu, Ahmad Fakhrul Azizi Fauzi, 37, berkata, kebolehan luar biasa yang dipamerkan anak sulung daripada dua beradik tersebut dikesan pada usia sembilan tahun.

“Dia terlebih dahulu disahkan menghidap penyakit jantung berlubang dan injap sempit yang perlu menjalani rawatan dan pembedahan.

“Pada usianya dua hingga tiga tahun dia tidak boleh bertutur selain mempunyai kecenderungan menyusun barang permainan dengan sangat kemas dan begitu teratur menyebabkan saya membawanya berjumpa doktor sebelum disahkan menghidap autisme,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan hari ini.

FAKHRUL AZIZI FAUZI
FAKHRUL AZIZI FAUZI

Ahmad Fakhrul Azizi yang juga guru Pemulihan Khas sekolah berkenaan berkata, satu ketika anaknya itu menonton bacaan al-Quran di Youtube sebelum mengambil kertas dan menulis kembali tulisan khat yang ditontonnya itu hanya dalam sekali pandangan.

“Sekali tengok sahaja dia terus ingat dan tulis tanpa ada sesiapa pun yang mengajarnya. Tulisannya pula semakin kemas dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

“Dalam sehari Ahmad Danish Aqil akan menghabiskan tempoh paling minimum empat jam untuk menyiapkan tulisan khat dan beberapa hari diperlukan untuk menghiasnya dengan lukisan bingkai bercorak warna-warni,” katanya.

Katanya, Ahmad Danish Aqil sebelum itu juga pernah menunjukkan bakat dalam lukisan dan melukis gambar seluruh bangunan sekolahnya dengan butiran yang sangat terperinci.

“Saya tempatkan dia di dalam kelas kanak-kanak normal untuk mendidiknya bergaul dan mengharapkan yang terbaik untuknya terutama sekali dapat menguruskan diri sendiri satu hari nanti.

“Saya sendiri terkejut dan sangat terharu dengan kebolehan yang ditunjukkan dalam keadaan dia berpenyakit autisme serta sentiasa memantau penulisannya supaya tidak ada kesalahan kerana itu adalah ayat al-Quran,” katanya.

Ahmad Danish Aqil (tengah) yang dilihat mudah sahaja menghasilkan tulisan seni khat sambil ditemani Fakhrul Azizi (kiri) dan gurunya, Nashimah Zakaria.
Ahmad Danish Aqil (tengah) yang dilihat mudah sahaja menghasilkan tulisan seni khat sambil ditemani Fakhrul Azizi (kiri) dan gurunya, Nashimah Zakaria.

Jelasnya lagi, memiliki anak autisme memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang amat tinggi namun dia dan isteri, Nor Diana Mohd Ghazali, 37 tidak pernah berputus asa.

“Saya membawanya berjumpa pakar dan mencuba pelbagai cara untuk memulihkan anak itu daripada penyakit autisme ini.

“Saya pernah pernah menarik pita pelekat dan menulis perkataan 'dapur' di atas pita itu serta melekatkannya dari ruang tamu ke dapur semata-mata untuk mengajarnya bahawa itu adalah dapur,” katanya.

Ahmad Danish Aqil yang mesra disapa Along mendapat perhatian secukupnya daripada guru dan ibubapanya.
Ahmad Danish Aqil yang mesra disapa Along mendapat perhatian secukupnya daripada guru dan ibubapanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!