Penjenamaan semula parti menerusi Pro-Amanah
ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (Amanah) menjenamakan semula parti itu dengan melancarkan Projek Transformasi Amanah (Pro-Amanah) pada 29 Jun depan sebagai inisiatif untuk 'memasyarakatkan' parti itu.
Timbalan Presiden Amanah, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Pro-Amanah merupakan proses transformasi yang akan melibatkan semua sayap daripada peringkat pimpinan hingga ke akar umbi parti tersebut.
Menurutnya, ia juga bagi menyediakan tapak kukuh sebelum parti itu memasuki pilihan raya akan datang dalam keadaan lebih bersedia.
“Pro-Amanah adalah suatu lonjakan, bagaimana kita akan transformasikan parti menjadi parti yang mempengaruhi masyarakat dan diterima ramai serta mempunyai cawangan yang banyak selain memiliki kepimpinan berkualiti.
"Ia juga sebagai menyediakan tapak kukuh untuk kita sertai pilihan raya pada 2027 dalam keadaan bersiap sedia," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan sesi libat urus bersama jawatankuasa pimpinan, sayap dan kawasan Amanah Kedah, di Wisma Amanah pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Amanah Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris.
Mujahid berkata, Pro-Amanah akan mengetengahkan empat teras termasuk pengukuhan organisasi, memasyarakatkan Amanah melalui progam kebajikan parti, memposisikan serta menjenamakan Amanah dalam politik tanah air.
“Antara yang dilakukan termasuk rombakan kepimpinan baharu, yang merupakan antara proses transformasi semua peringkat.
“Aspek lain termasuk memastikan parti berkembang dari segi cawangan dan kawasan, mana-mana parti pun ambil masa untuk kukuh, secara organik Amanah sedang berkembang,” ujarnya.
Menurutnya, Amanah akan terus berusaha mengukuhkan hala tujunya supaya parti yang ditubuhkan pada 16 September 2015 itu akan terus melonjak lebih jauh.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan parti itu dilihat semakin lesu khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan sebahagian besar pemimpin utamanya tewas kepada gelombang Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Mujahid tegaskan, Amanah juga melakar kejayaan tersendiri apabila kerajaan Perpaduan menerima idea serta dasar yang dibawa parti tersebut.
"Kejayaan terbesar kami adalah penggunaan 'Rahmah' dalam Kerajaan Perpaduan pada masa ini. Idea yang kami bawa itu dipakai meluas oleh kerajaan Madani, antaranya Menu Rahmah, Bakul Rahmah dana Sumbangan Tunai Rahmah.
“Konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’ diperkenalkan ketika saya menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada tahun 2018. Idea itu digunakan kembali, dan bagi kami itu suatu kejayaan, kerana dasar itu diterima dan memberi kesan lebih besar dalam masyarakat,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!