Polis buru individu bungkus kucing dalam guni, buang ke parit

No Image Caption
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis sedang mengesan individu yang membuang guni berisi seekor kucing ke dalam parit di Kota Giam, Jelutong di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang penghantar makanan pada jam 11.58 pagi berhubung kes penganiayaan haiwan yang dilakukan oleh seorang lelaki pada pagi Jumaat.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi selepas pengadu melihat seorang lelaki membuang guni ke dalam parit Kota Giam.

"Pengadu mendapati guni tersebut bergerak-gerak dan pengadu pun mengambil beg itu untuk membuat pemeriksaan.

"Pengadu mendapati terdapat seekor kucing di dalamnya dan apabila pengadu cuba menyelamatkan kucing berkenaan, pengadu mendapati kucing itu telah mati," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Razlam berkata, usaha mengesan lelaki berkenaan giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Pada Jumaat, Facebook Persatuan Haiwan Malaysia mengecam perbuatan meletakkan kucing dalam guni berikat dan dilempar dalam sungai di Jalan Kota Giam, Jelutong.

Menurut hantaran itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Jelutong, Timur Laut pada jam 11.58 pagi tadi berhubung kejadian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kes jenayah haiwan ini mempunyai cukup saksi yang mengenali pelaku.

"Dengan bukti dan saksi yang ada maka pihak Polis Diraja Malaysia perlu serius menegakkan Sistem Keadilan Jenayah Haiwan mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!