Empat ekor gajah ditemui mati disyaki diracun
KLUANG - [DIKEMAS KINI] Empat ekor gajah ditemui mati di Kampung Sri Timur, Kahang dekat sini, pada Sabtu dipercayai diracun.
Penemuan bangkai gajah terbabit oleh penduduk kampung pada sebelah pagi, turut tular di media sosial
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Amin berkata, bedah siasat terhadap bangkai empat ekor gajah itu akan dilakukan bagi menyiasat punca kematian.
"Siasatan masih dijalankan selain bedah siasat terhadap empat bangkai gajah akan dilakukan hari ini.
"Keputusan bedah siasat termasuk ujian kimia dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu.
"Namun, setakat ini, kami tidak dapat mengesahkan empat gajah ini mati akibat diracun," ujarnya ketika dihubungi pada Sabtu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Lee Ting Han, turut meninjau lokasi penemuan empat bangkai gajah itu pada pagi Sabtu.
Ting Han yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, sedih berikutan empat gajah itu dipercayai mati diracun.
"Orang ramai diminta tidak ambil undang-undang di tangan sendiri.
"Lapor kepada Perhilitan, PDRM atau ketua kampung sekiranya berhadapan masalah konflik dengan gajah bagi membolehkan pihak berkuasa ambil tindakan lanjut.
"Jabatan Veterinar juga sedang melakukan bedah siasat dan jika terbukti benar empat gajah itu mati diracun, PDRM sudah tentu akan mengambil tindakan susulan," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon mengesahkan, empat gajah yang ditemui mati disyaki akibat diracun itu adalah seekor ibu mamalia itu bersama tiga anak jantannya.
Beliau berkata, ia susulan hasil bedah siasat awal terhadap bangkai empat gajah berkenaan yang dijumpai dalam sebuah kebun.
"Kita mengesahkan empat bangkai ditemui itu membabitkan seekor gajah betina dewasa yang juga ibu bersama tiga anak gajah jantan yang juga anak gajah betina berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!