Tapak perobohan ditutup, tiada lagi penduduk pacak khemah

Laluan keluar masuk Kampung Sri Makmur telah ditutup bagi mengelak kecurian dan pencerobohan.
Laluan keluar masuk Kampung Sri Makmur telah ditutup bagi mengelak kecurian dan pencerobohan.
A
A
A

GOMBAK - Penduduk yang sebelum ini memacak khemah di tapak perobohan Kampung Sri Makmur di sini telah meninggalkan lokasi berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian pada Sabtu mendapati kawasan laluan keluar masuk kawasan itu telah ditutup dan dipagar bagi mengelak berlaku kejadian kecurian dan pencerobohan.

Difahamkan, empat keluarga terakhir yang bermalam di lokasi itu telah meninggalkan lokasi berkenaan sejak Jumaat.

Laluan keluar masuk Kampung Sri Makmur telah ditutup bagi mengelak kecurian dan pencerobohan.
Laluan keluar masuk Kampung Sri Makmur telah ditutup bagi mengelak kecurian dan pencerobohan.

Mereka sebelum ini enggan berpindah kerana memerlukan masa untuk membawa keluar barangan yang tidak sempat dialihkan semasa operasi perobohan dijalankan pada Isnin.

Ketua Penduduk Kampung Sri Makmur Gombak, Azhar Arif Ibrahim berkata, susulan penutupan itu, penduduk yang belum mempunyai tempat tinggal terpaksa berteduh di bawah jambatan berhampiran selain tinggal sementara di pusat khidmat DUN Gombak Setia serta hotel bajet.

Azhar Arif
Azhar Arif

Menurutnya, pihaknya kini sedang mengumpul dokumentasi diperlukan untuk permohonan bantuan perumahan kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).

Artikel Berkaitan:

"Merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini, beliau menyatakan sedia membantu baki penduduk yang tidak ditawarkan penempatan.

"Jadi kami cuba sekali lagi menyediakan bukti kami penduduk asal. Sebelum ini dokumen berkenaan telah dilampirkan kepada pihak peguam namun tidak dapat dipastikan punca kami tercicir menerima bantuan berkenaan," katanya.

Azhar Arif berkata, setakat ini tiada sebarang pertemuan bersama agensi kerajaan mahu pun wakil daripada kerajaan negeri sejak insiden perobohan tersebut.

"Saya harap diadakan pertemuan bagi membantu baki penduduk yang hilang tempat tinggal.

"Penduduk perlu dilibatkan dalam sesi perbincangan kerana sekarang tiada maklumat perkembangan terkini memandangkan pihak berkaitan enggan berurusan dengan kami, " katanya.

Amirudin pada Khamis berkata, pihaknya bersedia untuk melihat kembali bantuan yang boleh diterima keluarga terbabit.

Penduduk perlu membuktikan mereka penduduk asal yang wajar dapat penempatan dan tidak mendapat pampasan lain.

Laluan keluar masuk Kampung Sri Makmur telah ditutup bagi mengelak kecurian dan pencerobohan.
Laluan keluar masuk Kampung Sri Makmur telah ditutup bagi mengelak kecurian dan pencerobohan.

Sebelum ini LPHS serta Pejabat Daerah Daerah dan Tanah Gombak telah menggariskan syarat yang ditetapkan untuk penempatan semula.

Bagaimanapun, hanya 21 keluarga yang memenuhi syarat tersebut dan mendapat tawaran rumah atau rumah ganti serta pampasan lain yang ditetapkan.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebelum ini memaklumkan penjualan tanah di kampung itu kepada sebuah syarikat dimeterai pada 8 September 2020 dan syarikat tersebut memperoleh perintah mahkamah untuk melaksanakan tindakan meroboh semua struktur di tanah itu pada 14 Mei lepas.

Kerajaan Selangor juga telah menawarkan pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan sagu hati 'ex-gratia' sebanyak RM1,000 kepada 21 setinggan asal, berdasarkan pengesahan bancian pada 2006 dan 2016 mengikut senarai Pejabat Daerah Daerah dan Tanah Gombak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!