Cukai tanah: Pengecualian denda lewat hingga 30 November

Wan Rosdy (tiga dari Kiri) menyerahkan replika cek Tabung Bencana Bantuan Pertanian (Perikanan ) Pahang.
Wan Rosdy (tiga dari Kiri) menyerahkan replika cek Tabung Bencana Bantuan Pertanian (Perikanan ) Pahang.
A
A
A

LIPIS - Kerajaan Negeri Pahang menawarkan insentif Pengecualian Denda Lewat kepada semua pemilik tanah yang berkelayakan kecuali bagi pemilik tanah yang telah dikeluarkan Notis 6A sebelum 1 Julai 2024.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif tersebut berkuatkuasa bermula 1 Jun sehingga 30 November 2024.

Menurutnya, pemilik tanah di negeri itu diseru tidak melepaskan peluang tersebut untuk segera melunaskan bayaran cukai tanah atau tunggakan masing-masing tanpa dikenakan denda lewat.

"Ini bagi mengelakkan sebarang implikasi kepada pemilikan tanah nanti," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Karnival Tanah Pahang, 'Syukuri Nikmat, Laksana Tanggungjawab, Jelaskan Cukai Tanah Anda, Peringkat Negeri Pahang Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan Pengarah Tanah dan Galina (PTG) Pahang, Datuk Hamdan Hussin.

Mengulas penganjuran karnival tersebut yang telah memasuki tahun kedua penganjurannya, beliau memberitahu ia memberikan impak positif terhadap perolehan kerajaan negeri.

"Saya dapati impaknya sangat positif dan ini juga salah satu sebab yang kita berjaya mendapat kutipan hasil tanah semaksimum mungkin dan melonjakkan hasil pendapatan kerajaan negeri melebihi RM1 bilion," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tahun lepas, Pahang berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM1.306 bilion ringgit melalui pelbagai sumber ekonomi dengan sumbangan terbesar adalah daripada kutipan hasil tanah yang keseluruhannya berjumlah RM822.78 juta.

Dalam pada itu, Wan Rosdy juga memberitahu jumlah terkini hak milik tanah di Pahang adalah sebanyak 757,334.

"Kerajaan negeri telah menyasarkan bagi tempoh tiga hingga empat tahun, jumlah hak milik tanah akan ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya sejuta hak milik," tambahnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!