NGO rayu PM lantik menteri wakil India

Ragunathan (duduk, dua dari kanan) bersama wakil-wakil NGO ketika sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Ragunathan (duduk, dua dari kanan) bersama wakil-wakil NGO ketika sidang akhbar di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melantik seorang lagi menteri dalam kalangan Ahli Parlimen berbangsa India di dalam kabinet Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Wakil NGO, A Ragunathan berkata, cadangan itu dikemukakan selepas melihat masyarakat India di negara ini seolah-olah dipinggirkan kerajaan dan suara mereka kurang didengari.

Menurutnya, ketika awal penubuhan Kerajaan Perpaduan, masyarakat India ada tempat mengadu menerusi bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah sebelum digugurkan.

"Kita lihat masyarakat India di negara ini seolah-olah tidak diberikan perhatian. Memang kita ada Gobind Singh Deo sebagai Menteri Digital tetapi ia tidak mencukupi kerana permasalahan dihadapi masyarakat India ketika ini amat serius.

"Walaupun ada timbalan menteri berbangsa India, tetapi mereka tidak ada di dalam mesyuarat Kabinet. Jadi siapa yang nak mewakili masyarakat India suarakan masalah terus kepada Perdana Menteri ketika mesyuarat itu," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di sini pada Sabtu.

Justeru itu, beliau bersama-sama wakil 10 lagi NGO mencadangkan agar kerajaan melantik mana-mana pemimpin berbangsa India sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan masyarakat India terbela.

Katanya, dalam sejarah pentadbiran kerajaan Persekutuan sebelum ini memang akan ada pemimpin berbangsa India yang boleh berbahasa Tamil dilantik sebagai menteri Kabinet namun ia tidak berlaku di bawah kerajaan Madani.

Jelasnya, ketika Sivakumar menjadi menteri, pelbagai program disediakan untuk membantu menyelesaikan permasalahan masyarakat India di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Dasar Kerajaan Madani yang ada sekarang ini sangat bagus, cuma kita bimbang ia tidak sampai kepada pengetahuan masyarakat terutama orang-orang India. Kita tak mahu ada rakyat di negara ini yang tercicir.

"Jika ada menteri yang dilantik dalam kalangan masyarakat India, mungkin boleh membantu memastikan segala program disediakan oleh kerajaan dimanfaatkan rakyat terutama golongan yang memerlukan," katanya.

Sementara itu antara pertubuhan yang turut serta di dalam sidang akhbar itu termasuklah Persatuan Malayalee Perak, Persatuan Telegu Perak, KRT Indian Settlement Batu Gajah dan Persatuan India Perak.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar ketika ini mempunyai 31 orang anggota Jemaah Menteri dan 29 timbalan menteri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!