TVET bantu lahirkan tenaga kerja bernilai tinggi
KUANTAN - Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diberi tumpuan khusus dalam usaha melahirkan tenaga kerja berpengetahuan, berketrampilan, inovatif dan bernilai tinggi.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah bertitah, TVET dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.
Titahnya, TVET juga menyediakan peluang kepada pelajar untuk peroleh kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan industri.
"Ia sekali gus membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mengurangkan kadar pengangguran serta melahirkan graduan bergaji premium.
"Pemerkasaan TVET bagaimanapun memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan dan pemain industri dalam menyediakan kurikulum yang relevan, latihan berkualiti dan peluang pekerjaan selari dengan kemahiran yang diperoleh," titah baginda.
Tengku Hassanal yang juga Pro Canselor UMPSA bertitah demikian dalam titah diraja sempena Majlis Perasmian Jom Masuk U (JMU) 2024 Zon Timur II di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Kampus Gambang di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dr Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor; Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Naib Canselor UMPSA, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin; Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Profesor Dr Azlinda Azman.
Tengku Hassanal bertitah, program Jom Masuk U satu inisiatif yang dapat membantu pelajar dan ibu bapa mendapatkan maklumat terkini dan tepat mengenai peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
"Saya harap semua pelajar manfaatkan peluang ini sepenuhnya untuk merancang masa depan dengan lebih teratur.
"Antara cabaran sukar pelajar dalam menentukan kelestarian akademik di peringkat lebih tinggi ialah pemilihan program pengajian selari dengan kebolehan mereka.
"Sekiranya perkara itu tidak diberi perhatian sewajarnya, mereka mungkin tersalah pilih program dan seterusnya menghadapi kesulitan semasa mengikuti pengajian," titah baginda.
Sempena majlis perasmian itu, Tengku Hassanal turut berkenan menyerahkan surat lantikan Faculty@School Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kuantan, Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, SBPI Tun Abdul Razak, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, MRSM Tun Abdul Razak, Sekolah Menengah Teknik Kuantan dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP).
UMPSA menjadi tuan rumah bagi siri jelajah Jom Masuk U Zon Timur II kali ini menyediakan lebih 70 reruai berkaitan pendidikan tinggi ditawarkan institusi pendidikan tinggi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi merangkumi universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta, politeknik, kolej komuniti serta penglibatan institusi latihan kemahiran awam.
Di samping itu juga, terdapat reruai agensi penajaan, sesi konsultasi UPUOnline, konsultasi penajaan, biasiswa, pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi.
Siri jelajah JMU 2024 diadakan sejak 4 Mei hingga 9 Jun ini di 10 zon terpilih seluruh negara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!