Warga emas dipelawa sertai PAWE

Antara warga emas yang mengambil bahagian sempena Program Kesejahteraan Warga Emas di Surau Mahabah, Pantai Teluk Mak Nik di Kemaman.
Antara warga emas yang mengambil bahagian sempena Program Kesejahteraan Warga Emas di Surau Mahabah, Pantai Teluk Mak Nik di Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kemaman mempelawa warga emas untuk mendaftar sebagai peserta bagi membolehkan golongan itu mengikuti program yang dianjurkan secara percuma setiap Isnin hingga Khamis.

Penyelianya, Marini Mohamad berkata, pusat itu menyediakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat terhadap kesihatan golongan tersebut.

Marini
Marini

"Antara objektif pusat ini ialah mahu melahirkan warga emas yang sihat dari segi fizikal, mental dan rohani.

"Ia selaras dengan misi PAWE untuk realisasikan lima penuaan iaitu penuaan positif, produktif, sihat, aktif dan menyokong,” katanya sempena Program Kesejahteraan Warga Emas di Surau Mahabah, Pantai Teluk Mak Nik disini, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Cawangan Kemaman, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Kelab Warga Emas YPKT Parlimen Kemaman itu disertai seramai 60 warga emas di sekitar daerah ini.

Antara aktiviti dijalankan seperti senaman tai chi, pemeriksaan kesihatan, ceramah kesihatan, pemeriksaan Virus Papiloma Manusia (HPV) dan kanser serviks.

Menurut Marini, program tersebut merupakan perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan kepada warga emas.

Artikel Berkaitan:

"PAWE mengaturkan supaya peserta mengambil bahagian dalam aktiviti yang bersesuaian yang ditetapkan mengikut jadual termasuk seperti program keagamaan, program rekreasi, program terapi dan pemulihan, program ceramah kesihatan dan latihan atau kursus yang bersesuaian.

"Isu berkaitan penjagaan warga emas sering dibincangkan memandangkan bilangan warga tua dalam masyarakat semakin bertambah. Jadi, pusat ini merupakan pilihan yang sesuai bagi warga tua masa kini dan akan datang," ujarnya.

Marini berkata, PAWE Kemaman yang ditubuhkan pada 2012 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tidak ramai yang mengetahui kewujudannya.

Katanya, penubuhan pusat itu juga sebagai usaha memastikan golongan warga emas terus produktif dan dapat menjalani kehidupan harian yang lebih selamat dan selesa.

"Warga tua digalakkan untuk terus tinggal bersama keluarga atau penjaga selama mungkin. Oleh itu perkhidmatan pusat aktiviti disediakan bagi warga emas ketika penjaganya keluar bekerja.

"Diharapkan perkhidmatan ini akan dapat mengelakkan warga tua dari masuk ke institusi kebajikan. Program bercorak ala komuniti seperti ini dapat memenuhi berbagai keperluan sosial golongan warga tua," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!