7 bekas pegawai polis imbau kenangan selepas 60 tahun

Muhammad Idzam (empat dari kiri) bergambar bersama Skuad Inspektor 1/1964, pada pada Program Reunion Skuad Inspektor 1/1964 di Pulapol Kuala Lumpur pada Sabtu.
Muhammad Idzam (empat dari kiri) bergambar bersama Skuad Inspektor 1/1964, pada pada Program Reunion Skuad Inspektor 1/1964 di Pulapol Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah 60 tahun berlalu, seramai tujuh bekas pegawai polis pengambilan 1 bagi tahun 1964 (1/1964) berkumpul semula di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini.

Pengelola Program Reunion Skuad Inspektor 1/1964, S Divakaran berkata, sambutan di Pulapol Kuala Lumpur itu seakan mengimbau kembali kenangan mereka sewaktu menjalani latihan kepolisan pada 1964.

"Kesempatan ini digunakan untuk berkumpul, bertemu rakan lama yang melalui susah dan senang ketika menerima latihan selama sembilan bulan di sini.

“Ini adalah pusat latihan utama dan kita dapat melihat banyak perubahan dalam tempoh 60 tahun ini... kini sudah ada sistem latihan yang sentiasa dipertingkatkan," katanya ketika ditemui pada Program Reunion Skuad Inspektor 1/1964 di Pulapol Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.

Divakaran yang merupakan bekas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Johor itu berkata, walaupun skuad tersebut mempunyai 90 anggota namun kehadiran tujuh pegawai terbabit dapat ‘mengubat’ kerinduan kepada persahabatan mereka.

"Kita faham ada antara skuad ini sudah berusia lebih 70 dan 80 tahun serta mempunyai masalah kesihatan tetapi sanggup datang untuk berjumpa rakan-rakan lama... kita mahu tahu perkembangan mereka selain menghargai mereka,” katanya.

Selain itu, Divakaran turut menasihatkan anggota dan pegawai PDRM masa kini untuk mengikut undang-undang dalam melaksanakan tugas dan memberikan perkhidmatan baik kepada masyarakat.

“Sebagai seorang anggota polis anda sendiri perlu ikut undang-undang dan barulah orang lain (masyarakat) akan patuhi undang-undang serta bantu orang ramai daripada segi kebajikan selari dengan slogan polis sedia berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan veteran itu juga diberi peluang melawat berek lama mereka yang dikenali sebagai 'Kompeni H', Kimi telah bertukar kepada Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Majlis yang pertama kali diadakan itu bagi meraikan dan menghargai jasa tujuh pegawai polis yang berkhidmat sejak 1964, mereka turut dibawa melawat ke Pusat Simulasi Taktikal (PST) dan Lapang Sasar Pulapol Kuala Lumpur.

Turut hadir, Komandan Pulapol Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar.

Selain Divakaran, enam lagi pegawai skuad terbabit yang diraikan ialah Datuk Syed Md Mokhtar Syed Zubair Barakbah, Kamarulzaman Mohd Nor, Datuk Michael Khor Siang Pin, Kerisnan Chinniah, Datuk Abbas Osman dan Munshir Abdullah.

Sementara itu, Muhammad Idzam berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan Skuad Inspektor 1/1964 tersebut.

"Saya berasa teruja dengan kehadiran Skuad Inspektor 1/1964, kita juga sepatutnya menghargai jasa dan pengorbanan pegawai polis ini.

"Para pelatih Pulapol Kuala Lumpur boleh menimba pengalaman dengan bekas pegawai polis berkenaan agar ia menjadi panduan ketika berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia kelak," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!