Tindakan agresif, vandalisme bukan budaya kita - McDonald's Malaysia

Azmir
Azmir
A
A
A

SHAH ALAM - McDonald's Malaysia kesal dengan perbuatan sekumpulan individu yang melakukan vandalisme ke atas premis restoran dan bertindak agresif terhadap pekerja serta pelanggannya kerana tidak berpuas hati pencerobohan Israel ke atas Gaza.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, tindakan yang dilakukan itu jelas tidak mencerminkan budaya rakyat di negara ini.

"Tindakan vandalisme ke atas premis restoran kami, antaranya papan tanda, semakin menjadi-jadi dan berleluasa. Tindakan ini mencetuskan tekanan dan keresahan kepada pekerja kami serta masyarakat sekeliling.

"Saya menghormati hak individu untuk menyuarakan pandangan, namun saya juga meminta orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa tindakan yang merosakkan harta benda.

"Selain vandalisme, beberapa tindakan agresif terhadap pekerja dan pelanggan kami juga amat membimbangkan. Kita semua adalah rakyat Malaysia, justeru, tingkah laku sebegini amat menyedihkan dan tidak positif.

"Keselamatan pekerja kami, yang juga rakyat Malaysia, adalah keutamaan yang terpenting untuk kami. Bersatu untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza adalah penting, tetapi ia tidak sewajarnya berlaku sehingga menyakiti sesama rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai perbuatan vandalisme dilakukan ke atas sebuah restoran makanan segera popular tersebut berikutan boikot dilakukan susulan krisis perang Israel-Gaza.

Mengulas lanjut, Azmir menegaskan, sebagai umat Islam beliau juga terkesan dengan apa yang berlaku di Palestin dan turut bersolidariti dengan rakyat di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersolidariti bersama saudara-saudara kita di Gaza dan sentiasa mendoakan keamanan dan kesejahteraan mereka. Kita semua mempunyai tanggungjawab kemanusiaan untuk membantu mereka dalam kemampuan tersendiri.

"Sebagai sebuah perniagaan yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam di Malaysia, komitmen kami terhadap tujuan kemanusiaan tidak pernah berbelah bagi. Kami sentiasa menyuarakan sokongan kami untuk rakyat Palestin dan telah menderma RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin," ujarnya.

Menurut Azmir lagi, pekerjanya juga turut mengambil langkah proaktif dengan mengumpulkan dana lebih daripada RM100,000 untuk membantu mereka yang terjejas di Palestin.

Sehubungan itu, beliau meminta semua rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan dengan cara yang bertanggungjawab.

"Tindakan vandalisme dan keganasan tidak akan membawa apa-apa manfaat, malah lebih buruk padahnya. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memperjuangkan Palestin ini dengan daya upaya yang termampu dan bertanggungjawab," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!