Pelancong serbu Tasik Kenyir sempena cuti sekolah
HULU TERENGGANU - Tasik Kenyir yang kini diisytiharkan sebagai Taman Geopark Kebangsaan menerima peningkatan kunjungan pelancong sempena musim cuti sekolah sejak 24 Mei lalu.
Pengerusi Persatuan Bot Laju Tasik Kenyir, Mokhtar Abdul Rahman berkata, kunjungan pelancong ke situ meningkat sekali ganda berbanding cuti pada musim perayaan Aidilfitri lalu.
"Sejak November tahun lepas pengunjung agak berkurangan termasuk ketika musim cuti perayaan Aidilfitri lalu.
"Tetapi sejak musim cuti sekolah dalam seminggu ini suasana berbeza sebab sambutan diterima begitu baik dengan purata 50 hingga 70 biji kereta yang masuk ke sini setiap hari dalam seminggu ni.
"Dari segi purata pendapatan juga meningkat kepada antara RM500 hingga RM600 sehari bagi setiap pengusaha bot laju dan houseboat di sini," katanya ketika ditemui di sini pada petang Jumaat.
Menurut Mokhtar, kebanyakan pengunjung terdiri daripada keluarga yang datang dari luar Terengganu seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.
Seorang pelancong tempatan, Nurul Fatihah Razli, 26, berkata, dia gembira kerana dapat merasai pengalaman kali pertama berkunjung ke Tasik Kenyir.
"Ada banyak pilihan sama ada boleh bermalam di houseboat atau pakej balik hari. Macam hari ini saya ambil pakej balik hari dengan singgah ke beberapa tempat menarik antaranya ke kawasan Air Terjun Sauk dan Taman Herba sebelum ke Pulau Redang esok.
"Bagi saya Air Terjun Sauk sangat cantik terutama di kawasan mandi manda. Airnya kehijauan dan jernih.
"Keadaan cuaca selepas hujan di sini yang tidak begitu panas membuatkan kami sangat berpuas hati dan akan datang lagi selepas ini," katanya yang berasal dari Kuantan, Pahang.
Sementara itu, Aqil Fatih Razli, 20 dari Puchong, Selangor berkata, pengalaman ke Tasik Kenyir tidak dapat dilupakan dan akan berkunjung lagi ke situ pada masa akan datang.
"Ini kali pertama saya sampai ke Tasik Kenyir. Pemandangan di sini sangat cantik, airnya cantik dan cuaca dan suasana di sini pun cantik.
"Disebabkan pengalaman yang saya lalui di sini sangat menarik, saya akan syorkan atau ajak adik-beradik dan rakan-rakan untuk datang ke sini," ujarnya.
Wan Saidatul Anisah Wan Abdul Halim, 43, dari Kuantan pula berkata, perkhidmatan dan harga yang ditawarkan untuk ke Tasik Kenyir berpatutan.
"Semuanya terbaik, pemandu bot dan pemandu pelancong yang bawa kami sekeluarga amat peramah serta kawasan yang dikunjungi juga menarik dan cantik.
"Selepas ini, mungkin saya akan ke sini semula untuk bawa keluarga bermalam di houseboat, "ujarnya.
Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan terbesar di Asia Tenggara adalah destinasi percutian yang ideal serta terkenal dengan alam semula jadi bagi mereka yang gemar untuk eksplorasi keunikan flora dan fauna.
Terdapat pelbagai aktiviti yang ditawarkan dengan pelbagai pilihan penginapan di mana pengunjung perlu merancang dan membuat persediaan awal sebelum berkunjung ke situ agar tidak terlepas pengalaman yang menakjubkan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!