Etika dalam grup WhatsApp sekolah anak
Teknologi mencipta pelbagai cara untuk manusia berkomunikasi dan berhubung dengan mudah tanpa perlu bertemu muka. Semuanya dengan keajaiban di hujung jari.
Kebolehan untuk berkomunikasi dengan pantas dan mudah memang sudah menjadi satu keperluan pada masa kini. Satu aplikasi yang paling popular adalah Whats-App yang dibeli oleh Facebook sejak awal 2014.
Selain komunikasi antara individu, satu kegunaan WhatsApp adalah membentuk kumpulan yang membolehkan kita berbual dengan ramai orang pada waktu yang sama.
Maka, wujudlah pelbagai jenis grup WhatsApp, misalnya grup bekas rakan sekolah, grup taska, grup ji-ran tetangga, grup famili, grup tempat kerja, malah grup nak kuruskan badan pun ada. Namun, yang mahu difokuskan adalah grup WhatsApp antara guru dan ibu bapa.
Grup tersebut sebenarnya diwujudkan bagi memudahkan guru kelas berinteraksi dengan ibu bapa untuk menyalurkan maklumat dan informasi penting berkaitan pelajaran anak-anak serta perkemba-ngan di sekolah.
Namun, fungsinya sering disalah guna oleh segelintir ibu bapa. Paling kerap yang dilakukan adalah bertanya perihal anak setiap masa dan bertanyakan soalan yang sama walaupun guru telah memberikan maklumat yang lengkap.
“Cikgu, esok kena pakai baju sukan atau uniform sekolah tapi dalam jadual ada tulis PJ (Pendidikan Jasmani)?"
“Esok murid-murid balik jam berapa?”
“Nak tanya, esok ada subjek Matematik tak?
Kadangkala, selepas sahaja soa-lan yang diajukan telah dijawab, soalan yang sama akan ditanya kembali oleh ibu bapa yang lain. Ingatlah, cikgu tiada elaun khas untuk melayani soalan-soalan berulang ini.
Itu baru soalan berkaitan anak dan sekolah, belum lagi masuk perihal ibu bapa yang berbual perkara yang tidak berkaitan dengan hal sekolah dan berkongsi perkara yang tular tanpa usul periksa.
“Saya ada jual kerepek, sebalang RM20. Kalau nak order bagitau yer,”
“Saya copy and paste daripada grup sebelah, tak taulah betul atau tak.”
Banyak lagi contoh yang penulis pasti ibu bapa sendiri pernah melaluinya apabila berada dalam grup WhatsApp sekolah anak.
Ketahuilah, menggalas amanah sebagai guru bukanlah mudah kerana selain tugas hakiki sebagai pendidik, mereka juga perlu berdepan dengan kerenah murid yang pelbagai ragam, aktiviti sekolah yang pelbagai, melakukan kerja-kerja pentadbiran dan mesyuarat, malah pada masa yang sama ada guru yang terpaksa melayan sikap ibu bapa yang over protective.
Janganlah kita sebagai ibu bapa menambah beban guru yang sedia ada, bertanyakan itu dan ini di waktu dan luar waktu persekolahan seolah-olah guru bertugas selama 24 jam dalam sehari.
Isu beban tugas guru sebelum ini pernah mendapat perhatian Menteri Pendidikan ketika itu, Dr Maszlee Malik yang telah menggariskan lima inisiatif dan sembilan intervensi bagi menangani masalah berkenaan yang mula dilaksanakan pada awal 2019.
Kesemua inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan proses pengajaran yang mementingkan guru mengajar dengan gembira, bukannya menjadikan tugas mendidik itu sesuatu yang dianggap sebagai menyeksa dan membebankan atau membuatkan guru kemurungan dan stres.
Kepada ibu bapa, bertolak ansurlah dalam hal-hal berkaitan anak dan janganlah timbulkan isu yang remeh-temeh yang boleh menyukarkan guru untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
Hormatilah guru dan ibu bapa yang lain. Jika ada masalah berbangkit, selesaikanlah secara berhemah. Jagalah hubungan sesama manusia. Janganlah kerana perang jari di media sosial menyebabkan ada ibu bapa yang 'berperang' di alam nyata.
Jagalah etika ketika berada dalam grup WhatsApp sekolah atau apa sahaja platform media sosial yang ada agar tidak tersasar daripada tujuan dan matlamat ia diwujudkan.
Janganlah ada salah guna yang menjengkelkan. Sentiasalah beringat sebelum tangan kita laju menaip atau berkongsikan sesuatu perkara, fikirkan dahulu kesan dan akibatnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!