'Terima kasih orang baik'
KOTA BHARU - Seorang lelaki tidak berputus asa mencari sepasang suami isteri yang membantunya ketika dia melalui detik cemas apabila tayar keretanya tiba-tiba meletup dalam kejadian di Kilometer 366, Lebuh Raya Pantai Timur 2.
Mohd Azizul Arif Yahaya, 41, yang berseorangan mengalami kemalangan berkenaan menarik nafas lega selepas bertemu Muhammad Nur Sadid Amin Ibrahim, 23, dan isteri, Nur Syuhada Muslin, 27.
Pasangan itu menaiki motosikal dari Felda Chini Tiga, Pekan, Pahang untuk pulang ke Ketereh, Kelantan.
Bercerita kembali kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.45 petang Jumaat lalu, Mohd Azizul Arif berkata, ketika itu dia dalam perjalanan dari Kuantan ke Kelantan kerana perlu menghadiri satu program jabatan.
"Saya terdengar bunyi yang kuat dari tayar di sebelah kiri kereta dan terus memperlahankan kenderaan untuk berhenti di bahu jalan.
"Bagaimanapun, tayar kereta saya tiba-tiba meletup mengakibatkan bampar depan terpelanting ke atas bumbung kereta dan serpihan getah tayar bersepai di atas jalan raya," katanya.
Tambah Mohd Azizul Arif, dalam keadaan panik, dia hanya mampu berdoa supaya dirinya selamat sebelum keluar ke jalan raya untuk mengutip serpihan berkenaan.
Jelasnya, pemandu yang melalui lebuh raya itu hanya memberhentikan kenderaan bagi memberi peluang dia mengutip serpihan tetapi meneruskan semula perjalanan mereka.
"Beberapa minit kemudian, Muhammad Nur Sadid Amin memberhentikan motosikalnya dan bertanyakan keadaan saya sambil mereka membantu mengutip serpihan kereta.
"Saya tidak sempat memikirkan untuk meminta nombor telefon kerana masih panik dan berdebar dengan kejadian itu tetapi sempat bertanya nama kampung dan tempat tinggal sebelum masing-masing bergerak sendiri.
"Keesokannya saya terfikir mahu mencari pasangan suami isteri itu dan kemudian berkongsi kejadian itu di beberapa platform media sosial," katanya.
Bagaimanapun dia tidak menyangka gambar itu tular dan dikongsi ramai pengguna media sosial yang turut memberi nombor telefon mereka.
Tambahnya lagi, dalam tempoh dua hari kemudian dia mendapat nombor telefon pasangan suami isteri itu.
"Saya ada menghubunginya tetapi kami tidak sempat bertemu kerana Muhammad Nur Sadid Amin mempunyai tugasan.
"Terima kasih kerana mereka sangat baik membantu dan tidak berkira untuk memberhentikan motosikal," katanya.
Sementara itu, Muhammad Nur Sadid Amin ketika dihubungi memberitahu bersimpati dengan Mohd Azizul Arif yang mengalami kemalangan di lebuh raya itu.
"Ketika melalui lebuh raya itu, saya dapati dia berseorangan dan sedang mengutip serpihan bampar serta tayar.
"Saya bersama isteri mengambil keputusan memberhentikan motosikal dan membantunya membersihkan kawasan sekitar sebelum memasang tayar," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!