Malim gunung meninggal dunia di puncak Gunung Hitam
HULU LANGAT - Seorang lelaki berusia 57 tahun dilaporkan meninggal dunia di Gunung Hitam, di sini, pada Sabtu.
Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, Pusat Gerakan Operasi Selangor telah menerima panggilan kecemasan pada jam 11.48 pagi.
"Mengikut laporan daripada pemanggil memaklumkan lelaki itu telah pengsan sebaik tiba di puncak Gunung Hitam.
"Mangsa yang juga malim gunung dikenali sebagai Along kerap membantu operasi bomba sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Wan Md Razali berkata, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussien Onn bersama agensi bantuan Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia terlibat dalam operasi berkenaan.
"Agensi lain yang turut sama membantu adalah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Agensi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) malim gunung dan Pasukan Bomba Sukarela Serdang," katanya.
Beliau berkata, taktikal operasi yang telah dilakukan oleh komander operasi dengan memecahkan kepada tiga kumpulan iaitu pasukan penyelamat, pasukan perubatan dan pasukan bantuan.
"Anggaran masa pasukan penyelamat untuk sampai di lokasi kejadian kira-kira empat jam.
"Manakala pasukan perubatan berjaya sampai ke tempat kejadian jam 4.30 petang dan telah membuat rawatan kecemasan, sebelum dilaporkan meninggal dunia pada jam 5.50 petang," ujarnya.
Menurutnya, usaha membawa mangsa keluar dari kawasan tersebut bagi masih giat dilakukan.
"Operasi masih diteruskan sehingga mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
"Anggaran masa untuk membawa mangsa turun ke pusat kawalan bomba (PKB) di sini pada jam 10 malam," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!