Masalah Boeing boleh jejaskan seluruh industri, Airbus beri amaran

Masalah teknikal yang sedang dihadapi pengeluar pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing boleh membebankan seluruh industri penerbangan. Foto REUTERS
Masalah teknikal yang sedang dihadapi pengeluar pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing boleh membebankan seluruh industri penerbangan. Foto REUTERS
A
A
A

BERLIN - Masalah teknikal yang sedang dihadapi pengeluar pesawat Amerika Syarikat (AS), Boeing, boleh membebankan seluruh industri penerbangan, menurut pesaing utamanya, Airbus, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik laporan media tempatan.

"Masalah Boeing boleh menyebabkan lebih ramai orang mempersoalkan sejauh mana keselamatan penerbangan sebenarnya,” kata Christian Scherer, ketua pembuatan pesawat awam di syarikat Eropah itu, dalam satu temu bual dengan majalah perniagaan Jerman, Wirtschaftswoche yang diterbitkan pada Sabtu.

Ini menimbulkan "bayangan terhadap keseluruhan industri," katanya.

Menurut Scherer, kini lebih sukar untuk memperakui pesawat baru. "Terdapat tekanan yang lebih besar daripada semua pemerhati, termasuk pihak berkuasa pengawal selia.”

Scherer menolak andaian bahawa Airbus mendapat manfaat daripada kesukaran yang dihadapi oleh pesaing terbesarnya. Beliau berkata harga pesawat meningkat kerana permintaan lebih besar daripada penawaran.

Dalam satu insiden awal tahun ini, pesawat Boeing 737-9 MAX yang dikendalikan oleh Alaska Airlines kehilangan penyumbat pintu semasa pendakian, menyebabkan lubang besar pada badan pesawat. Sejak insiden itu, Boeing berada di bawah tekanan yang semakin meningkat untuk meningkatkan kawalan kualiti.

Dalam nahas dua pesawat 737 MAX pada Oktober 2018 dan Mac 2019, 346 orang terkorban. Siasatan mendapati bahawa salah satu punca kemalangan itu adalah perisian pesawat terbabit. - Bernama-dpa

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: