Harimau Malaya jumpa Kyrgyzstan, Taiwan tanpa kelibat Ahmad Syihan

Ahmad Syihan
Ahmad Syihan
A
A
A

SKUAD bola sepak negara terpaksa melupakan khidmat Ahmad Syihan Hazmi, selepas penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengalami kecederaan selepas kehilangan Faisal Halim, Romel Morales, Arif Aiman Hanapi dan Darren Lok juga akibat situasi sama.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia FAM, khidmat bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC itu disisihkan selepas doktor perubatan Harimau Selatan mengesahkan kecederaan pemain berusia 28 tahun berkenaan.

Perkembangan terkini itu menyaksikan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon tidak memanggil pemain pengganti, sebaliknya kekal dengan tiga penjaga gol Azri Ab Ghani, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Sementara itu, pemain Buriram United, Dion Cools bersama lima pemain JDT- Matthew Davies, Corbin-Ong, Shahrul Saad, Feroz Baharudin dan Endrick dos Santos mula menjalani sesi latihan bersama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Sabtu.

Kem latihan pusat Harimau Malaya kini disertai 24 pemain dengan pemain Selangor FC, Nooa Laine akan menyertai pasukan pada Isnin bagi melengkapkan 25 pemain yang akan ke Bishkek, Kyrgyzstan pada Selasa.

Harimau Malaya seliaan Pan-gon akan menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun diikuti Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!