Tiba masa sepak takraw ada rumah sendiri
SOKONGAN padu rakyat Malaysia yang membanjiri Stadium Titiwangsa sepanjang berlangsungnya temasya Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2024 yang berakhir Ahad lalu disifatkan luar biasa, sekali gus mencapai matlamat dan standard antarabangsa.
Ia juga bukti kemampuan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) melaksanakan amanah Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan 20 negara lain menjadi tuan rumah edisi keempat kali ini.
Melihat kepada kehadiran penyokong dan kemampuan PSM menganjurkan temasya sedemikian, pengurus skuad sepak takraw negara, Datuk Abu Jimi Samat berpandangan sudah tiba masanya sukan tradisi yang mempunyai pengaruh besar itu memiliki venue sendiri.
“Saya tidak boleh bercakap atas kapasiti PSM tapi secara peribadi, Malaysia menerusi KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sudah sewajarnya boleh memulakan hasrat baharu untuk membina stadium sepak takraw serba lengkap di lokasi sesuai.
“Saya percaya sekiranya komuniti sepak takraw Malaysia mempunyai stadium yang lengkap dengan kemudahan sokongan lain, secara tidak langsung akan merancakkan pembangunan sukan ini pada masa depan.
“Malah, kewujudan stadium sepak takraw ini akan menjadi pemangkin kepada negara-negara lain menjadikannya sukan utama berdasarkan peningkatan prestasi permainan dari negara-negara yang menyertai Piala Dunia 2024 baru-baru ini,” katanya yang juga naib presiden PSM kepada Sukan Sinar.
Sebagai rekod, Stadium Titiwangsa yang merupakan stadium tertutup mampu menampung lebih 2,000 penonton dalam satu masa merupakan venue acara bagi kejuaraan domestik kendalian PSM seperti Liga Sepak Takraw (STL) dan kejuaraan tempatan lain.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!