Keadilan untuk adik Zayn Rayyan terus jadi tanda tanya
KEADILAN bagi kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui dibunuh di Damansara Damai pada Disember lalu terus menjadi tanda tanya apabila sehingga kini pelaku belum dikenal pasti.
Bagaimanapun, penahanan ibu bapa Zayn Rayyan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, Selangor di Puncak Alam, Selangor kira-kira jam 11 pagi Jumaat mengejutkan ramai pihak.
Pelbagai spekulasi dan persoalan yang timbul susulan tindakan tersebut kerana orang ramai tidak menyangka bahawa ibu bapa Zayn Rayyan boleh menjadi suspek kes pembunuhan berkenaan.
Susulan daripada itu, siasatan perlu dilaksanakan secara terperinci dan telus agar tiada sebarang kesilapan berlaku sepanjang proses mengumpul maklumat serta bukti berkaitan kes berlangsung.
Walaupun kes ini sudah lama berlaku tetapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuktikan bahawa pihaknya tetap giat melakukan kajian mengenai kejadian tersebut bagi mengenal pasti pelaku sebenar.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, seorang peguam memaklumkan bahawa terdapat perkembangan baharu dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, menjurus kepada penahanan ibu bapa Zayn Rayyan.
Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili pasangan suami isteri itu berkata, pihak polis menyatakan perkara tersebut ketika prosiding permohonan reman di Mahkamah Majistret pada Sabtu, di hadapan Majistret, Ainaa Mohd Kamal.
Menurutnya, polis memohon pasangan itu direman selama tujuh hari dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya.
Ditanya mengenai bukti baharu atau rekod percakapan mereka yang bercanggah, peguam itu berkata, dua faktor itu mungkin menyumbang kepada penahanan terbabit.
Pada 6 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.
Tangkapan demi tangkapan, siasatan demi siasatan telah dilakukan namun keadilan buat adik Zayn Rayyan masih belum dicapai.
Diharapkan pihak PDRM menemui jalan penyelesaian terhadap kes tersebut dalam masa terdekat tanpa sebarang kesulitan atau halangan sepanjang penyiasatan berlangsung.
Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat andaian atau spekulasi berhubung penangkapan ibu bapa Zayn Rayyan sehingga PDRM sendiri yang memaklumkan maklumat lanjut mengenai status siasatan nanti.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!