Meninggal dunia ketika buat kebaikan tergolong kematian dicemburui
SHAH ALAM - Umat Islam yang meninggal dunia ketika membuat kebaikan termasuk sedang membuat tawaf dan dalam keadaan ihram di Makkah tergolong antara kematian yang dicemburui.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, kematian yang baik atau disifatkan sebagai insan terpilih di sisi ALLAH SWT itu juga bergantung kepada niat individu dan bukannya bersandarkan tempat seperti di Tanah Suci Makkah.
“Kematian ini bukan semestinya di Makkah baru dianggap baik tetapi (jika) mati ketika sujud, sedang memberi ceramah dan melakukan kebaikan lain juga tergolong dalam kematian yang dicemburui.
“Maksud cemburu ini, kita inginkan perkara yang baik-baik bukan cemburu dalam konteks negatif.
“Kematian seseorang yang dicemburui itu juga bergantung kepada niat individu itu dan hanya ALLAH SWT sahaja yang mengetahuinya (niat mereka).
“Namun, kita sebagai orang Islam haruslah bersangka baik. Apatah lagi jika kematian mereka itu di Makkah dan dalam proses untuk menunaikan haji.
“Jadi kita mohon kepada ALLAH SWT supaya kurniakan kebaikan kepada semua umat Islam,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kematian jemaah haji Malaysia yang sedang menanti untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Pada Rabu lepas, seorang lelaki berusia 58 tahun, dari Alor Setar, Kedah menjadi jemaah haji kedua Malaysia yang meninggal dunia di Makkah akibat serangan sakit jantung setelah selesai melakukan tujuh pusingan tawaf.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berkata, umat Islam juga perlu sentiasa berdoa supaya mendapat kematian yang baik di sisi ALLAH SWT dan ia perlu diiringi dengan tindakan atau perbuatan baik.
Jelas beliau, banyak kebaikan boleh dilakukan untuk mendapat ganjaran dalam memperoleh kematian yang dicemburui.
“Ada orang memohon kepada ALLAH SWT untuk meninggal di Makkah, meninggal pada hari Jumaat atau bulan Ramadan (dan) ALLAH SWT makbulkan kesemuanya kecuali meninggal di Tanah Suci tapi hal itu tidak bermakna dia bukan insan terpilih,” ujar Mohamad Sabri
Beliau turut memberi contoh ada individu berkorban banyak harta dan tenaga untuk menabur ilmu untuk sentiasa mengimarahkan masjid dan sekiranya mereka meninggal dunia ketika sedang membuat kebaikan berkenaan, ia juga tergolong dalam kematian yang dicemburui.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!