'Ponti Jibam-jibam Melaka' tak patah semangat diugut tampar, tarik rambut

Ponti Jibam-jibam Melaka menunjukkan sos tauhu bakar yang dihasilkan isterinya dan dijual dengan harga RM20 sebalang.
Ponti Jibam-jibam Melaka menunjukkan sos tauhu bakar yang dihasilkan isterinya dan dijual dengan harga RM20 sebalang.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Meskipun pernah diugut beberapa kali termasuk mahu ditampar dan ditarik rambut, namun semua itu tidak mematahkan semangat 'Ponti Jibam-jibam Melaka' untuk terus mencari rezeki dengan cara tersendiri.

Namun bapa kepada dua orang cahaya mata itu, Mohd Saifen Mohamed, 40, mengakui sedih apabila usaha yang dilakukan untuk membebaskan keluarganya daripada belenggu hutang mencecah ratusan ribu ringgit dipandang negatif segelintir netizen.

Menurutnya, setiap kali membuat siaran langsung menerusi akaun TikTok miliknya, ada yang gemar melontarkan komen menyakitkan hati sedangkan dia sedang berusaha keras untuk menyara keluarga, bukan sahaja dengan memakai kostum pontianak malah menjual tauhu bakar di Pekan Kopi, Limbongan.

Katanya, segala kata-kata nista, ugutan dan kecaman itu dijadikan sebagai perangsang untuk dia lebih cekal. Dia turut terharu apabila kerja menghiburkan orang ramai di Jalan Jonker, Banda Hilir mendapat sokongan rakyat berbilang bangsa termasuk Cina dan India.

Antara peminat cilik Ponti Jibam-jibam Melaka' yang menemuinya di Pekan Kopi Limbongan di sini, pada Sabtu.
Antara peminat cilik Ponti Jibam-jibam Melaka' yang menemuinya di Pekan Kopi Limbongan di sini, pada Sabtu.

"Tipulah kalau saya tidak sedih, ada yang nak ugut tarik rambut saya, nak tampar muka saya, saya lakukan semua itu bukan untuk menakutkan orang ramai namun lebih untuk menghiburkan dan menceriakan kawasan pelancongan itu.

"Kebanyakan mereka yang menghantar komen-komen negatif menggunakan akaun palsu, jadi lebih baik saya tidak melayan namun jika mengganggu-gugat keluarga saya mungkin tidak teragak-agak mengambil tindakan lanjut," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Limbongan di sini, pada Sabtu.

Tambahnya, bermula awal bulan ini dia mula berniaga tauhu bakar dengan harga RM7 sepinggan di Pekan Kopi bagi menambahkan pendapatan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, selagi mempunyai kudrat dia sanggup melakukan apa sahaja kerja termasuk memotong rumput sekiranya ada pihak yang memerlukan perkhidmatannya.

"Selagi kita cari rezeki halal, kita tak perlu malu, kadang orang tanya juga kata anak datuk tapi sanggup melakukan kerja macam ini.

Ponti Jibam-jibam Melaka sanggup melakukan apa sahaja kerja termasuk menjual tauhu bakar untuk menyara keluarganya.
Ponti Jibam-jibam Melaka sanggup melakukan apa sahaja kerja termasuk menjual tauhu bakar untuk menyara keluarganya.

"Saiz kasut kita berbeza, orang tak tahu bebanan yang saya tanggung selama ini dan saya mohon doakan yang terbaik untuk saya," katanya lagi.

Sinar Harian sebelum ini pernah menyiarkan di sebalik keceriaan menghiburkan orang ramai dengan memakai kostum pontianak di Jalan Jonker Banda Hilir di sini, namun siapa sangka ada kisah duka yang disembunyikan individu itu.

Dia sentiasa menyapa dan menghiburkan pelancong pada setiap malam di dengan pelbagai aksi bersahaja termasuk menyanyi dan berpantun.

Menurutnya, sebelum ini dia mempunyai pekerjaan tetap sebagai penghantar surat di sebuah agensi milik kerajaan negeri, namun segalanya berubah selepas terpedaya dengan scammer tambah nilai pada tahun 2010.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!