Pernah tular curi roti, lotong bernama Lisa sudah tiada

Lotong yang diberi nama Lisa itu mati akibat terjatuh dari pokok.
Lotong yang diberi nama Lisa itu mati akibat terjatuh dari pokok.
A
A
A

SHAH ALAM - Gelagat seekor lotong cengkong 'mencuri' roti daripada seorang pengawal keselamatan pernah mencuit hati warganet sekitar Julai 2021, malah video kejadian itu meraih sehingga tujuh juta tontonan.

Video yang tular ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu bukan sahaja dikongsi di beberapa platform media sosial tempatan, bahkan media antarabangsa turut membuat perkongsian video lucu berkenaan.

Namun perkongsian daripada pengawal keselamatan, Muhamad Hafiz Hamzah baru-baru ini meruntun hati pengguna media sosial apabila dikhabarkan lotong yang diberi nama Lisa itu mati akibat terjatuh dari pokok.

Menerusi hantaran lelaki tersebut di aplikasi TikTok, Lisa dipercayai terjatuh ketika berlindung di atas sebatang pokok ketika ribut melanda kawasan berhampiran sebuah pusat peranginan di Langkawi itu.

"Tamat sudah riwayat Lisa. Monyet yang pernah viral (tular) satu dunia sudah tiada, yang menghiburkan anda sewaktu PKP.

"Merupakan monyet kesayangan dan peneman saya sewaktu PKP, selalu buat content (kandungan) curi makanan pengawal keselamatan," katanya.

Sebelum ini, perkongsian video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seekor lutong cengkong atau nama saintifiknya 'trachypithecus obscurus' merampas roti yang dipegang seorang pengawal keselamatan mendapat perhatian ramai.

Rentetan itu, Muhamad Hafiz menerusi akaun @hafiztt96 memuat naik satu video berdurasi 36 saat memaparkan setiap kenangan dan gelagat Lisa yang pernah membuatkan warga maya terhibur sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod di semenanjung Malaysia, spesies tersebut merupakan haiwan yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [ 716].

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!